OKU dapat motosikal selepas menunggu 12 tahun

Seorang warga emas cacat, Samad Din, 68, lega memperoleh sebuah motosikal roda tiga selepas lebih 12 tahun menggunakan basikal tua mengutip barang-barang lusuh dan besi buruk sebagai pencarian menyara keluarganya.

Samad dari Kampung Sungai Buaya, Mukim Sungai Kecil Ilir, yang menghadapi masalah pertuturan terpaksa bekerja untuk menyara isteri dan empat orang anaknya termasuk seorang yang terencat akal, Shamizan, 30.

Isterinya, Asmah Yahaya, 58, kini dirawat di wad ICU Hospital Seberang Jaya, Butterworth sejak seminggu yang lalu kerana mengidap beberapa penyakit kronik.

Motosikal roda tiga itu dilengkapkan dengan bahagian pembawa barang berharga RM3,000 sumbangan seorang dermawan.

Samad menerima elaun OKU sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak setahun yang lalu bagi menampung pendapatan menjual barang-barang lusuh kira-kira RM500 sebulan.

– Bernama