Piket tuntut tebatan banjir di Segamat

Piket tuntut tebatan banjir di Segamat

BERITA TERKINI: Seramai lebih kurang 200 orang penduduk Kampung Jawa Segamat telah mengadakan piket aman di hadapan Masjid Kampung Jawa.

Seramai lebih kurang 200 orang penduduk Kampung Jawa Segamat telah mengadakan piket aman di hadapan Masjid Kampung Jawa bagi menuntut projek tebatan banjir yang dipohon mereka selepas banjir besar yang melanda pada penghujung 2006 lalu dialihkan ke kawasan lain.
Laluan terusan yang dicadangkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran sekarang melalui kawasan Sekolah Agama Kampung Jawa dan tanah perkuburan Islam penduduk Kampung Jawa adalah kawasan pertembungan air yang menghasilkan pusaran air ketika banjir besar penghujung 2006 dan awal 2011 yang lalu.
Piket yang disertai oleh penduduk kampung tanpa mengira fahaman politik ini menuntut agar laluan terusan dialihkan ke kawasan lain iaitu ke kawasan Kampung Logah yang tidak jauh dari lokasi yang dicadangkan kerana bimbang kesan hakisan yang bakal berlaku sekiranya diteruskan.
Sebelum ini pihak penduduk telah mengadakan dialog dengan pihak JPS pada 17 Julai lalu bagi menyuarakan bantahan mereka namun sehingga ke hari ini namun bagi penduduk pihak JPS dikatakan akan meneruskan juga laluan yang dicadangkan kerana pampasan telah mula dibayar kepada penduduk yang terlibat.
Menurut ketua kampung, Haji Hassan Sitam, kawasan yang penduduk cadangkan adalah di Kampung Logah iaitu di kawasan di mana banjir akan mula melimpah.
“Kalau dibuat di kampung Logah, terusan itu tidak akan melibat banyak rumah penduduk, sekolah, kubur, malah ia hanya melalui kawasan kebun pertanian sahaja,” tambah beliau.
Turut hadir, Ahli Parlimen Sekijang, Dato’ Haji Baharom Mohamad yang dijemput penduduk kampung bagi menyerahkan memorandum penduduk untuk disampaikan kepada Perdana Menteri.
“Saya telah dipanggil oleh menteri berkaitan (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar) pada 4 Oktober lepas dan menteri telah bersetuju untuk mengkaji semula projek tersebut.”
“Saya juga membantah sekiranya projek terusan ini diteruskan di kawasan cadangan JPS dan saya juga terkejut kerana pampasan juga telah diberikan dahulu tanpa pengetahuan saya sebagai wakil rakyat”
Bagi pesara Syarikat Air Johor, Ramli Haji Abu Samah, 55, beliau agak kesal kerana keputusan yang dibuat oleh JPS tidak mengambil kira sensitiviti penduduk.”Kalau projek terusan itu di teruskan di lokasi sekarang, Kampung Jawa akan terbahagi kepada dua, malah siapa yang harus dipersalahkan sekiranya berlaku hakisan akibat banjir pada 20 atau 30 tahun akan datang”

“Kita mintalah menteri dan pihak yang berkaitan supaya turun padang, saksikan sendiri apa yang penduduk bantah,” kata beliau yang turut kesal kerana ADUN Pemanis, Lau Chin Hoon tidak hadir walaupun sudah dijemput.