A Hayat muncul johan nasyid antara jabatan

A Hayat muncul johan nasyid antara jabatan

Nasyid merupakan cabang seni berteraskan Islam dan merupakan medium dakwah yang cukup berkesan serta makin diminati sehingga kini.

 

Johan pertandingan nasyid

Nasyid merupakan cabang seni berteraskan Islam dan merupakan medium dakwah yang cukup berkesan serta makin diminati sehingga kini.

Pemangku Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Klang (MPK),Ikhsan Mukri berkata, kehebatan nasyid yang mempunyai pelbagai unsur nasihat, kisah para Nabi dan seruan kearah kebaikan wajar diteruskan agar seni itu terus berkembang seiring dengan kepesatan zaman.

Menurutnya, majlis begitu komited dalam memartabatkan seni Islam itu kerana yakin ia mampu memberi mesej yang positif di kalangan kakitangan khususnya yang beragama Islam.

“Saya berbangga kerana pertandingan ini mencapai matlamatnya dan setiap jabatan dilihat komited menyertai pertandingan yang kita anjurkan ini.

“Malah ia juga mampu menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baru dikalangan kakitangan MPK untuk diketengahkan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Nasyid Bakat Budaya MPK 2011 yang diadakan di Dewan Hamzah baru-baru ini.

Hadir sama ahli majlis, Nor Ain Eusoff, K Deepakaran, ketua-ketua jabatan dan kakitangan MPK yang lain.

Pada pertandingan itu, Kumpulan A-Hayat dari Jabatan Perkhidmatan Persekitaran muncul johan diikuti Dalam Cahaya (Jabatan Teknologi Maklumat) dan ketiga, Widaad dari Jabatan Perancang Bandar.