Bajet 2012: Reaksi warga kota, golongan pertengahan

Bajet 2012: Reaksi warga kota, golongan pertengahan

Berikut adalah reaksi warga kota dan golongan pertengahan mengenai pembentangan bajet 2012 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Berikut adalah reaksi warga kota dan golongan pertengahan mengenai pembentangan bajet 2012 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Peniaga kedai buku, Aziz Karim, 60, berkata tiada sebarang bantuan diberikan kepada golongan peniaga.

Beliau berpendapat peruntukan dilihat memberi fokus kepada kakitangan kerajaan dan pesara sahaja.

“Golongan pertengahan dan biasa tiada langsung, saya difahamkan bajet ini banyak dicedok daripada buku Pakatan berdasarkan apa yang saya baca.

“Apa yang bagusnya pembangkang bantah kenaikan elaun ahli parlimen, itu saya setuju,” katanya yang sentiasa mengikuti pembentangan bajet tahun sebelumnya.

Aziz berkata, pada pembentangan bajet terdahulu, rakyat mendapat faedah dari segi penurunan cukai jalan kereta dan ‘income tax’.

“Tapi sekarang ini tiada langsung, bila barang naik pengguna merungut tetapi kita nak buat macam mana pasal kita adalah golongan pertengahan.

See also  Sunway Uni hosts Times Higher Education Asia Summit

“Saya meminta kerajaan supaya berlaku adil melibatkan semua golongan,” tegasnya.

Sementara itu, penuntut universiti swasta, Afikah Ghazali, 21, berkata bajet RM200 diberikan kepada pelajar tidak mencukupi.

Menurutnya, harga buku di kampus sebuah ada yang berharga RM50 dan RM100.

“Kadang-kadang harga buku mencecah hingga RM300 hingga RM500 di mana kerajaan wajar mengkaji semula memberikan peruntukan tersebut

“Saya rasa kerajaan main letak (harga) sepatutnya kena tengok harga buku atau bertanya kepada pelajar,” katanya.

Bagi, Shahira Shaharuddin, 21 bersetuju dengan pandangan diberikan oleh rakannya.

Ditanya sama ada mendapat pinjaman, menurutnya beliau belum mendapat pinjaman daripada mana pihak.

” Memang susah bagi saya terpaksa berharap wang daripada ibu bapa dan peruntukan RM200 memang tak cukup dan duit belanja sebulan terpaksa dihabiskan beli buku,” katanya.

Peniaga barangan minyak wangi dan peralatan sembahyang, hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 42 ketika ditemui enggan mengulas panjang mengenai bajet 2011.

See also  HWUM earns recognition for graduate employability

“Setakat ini peniaga kecil tidak mendapat sebarang bantuan peruntukan pembentangan bajet, tetapi mempunyai agensi seperti Tekun untuk mendapatkan dana, katanya yang sudah berniaga enam tahun.

Bagi peniaga kedai makan, Yahadi Abdul Mutalib, 50 berkata beliau langsung tidak mengikuti pembentangan bajet 2012 baru-baru ini.

Ditanya mengenai alasannya, katanya bajet ini langsung tidak ada kena mengena dengan dirinya.

“Saya tak ambil “pot” langsung, tidak terima secara langsung apa yang diumumkan kerajaan, saya orang kecil, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang langsung tak dapat apa-apa.

“Apa yang saya nak tekankan mengenai saman parkir motor, mahal sangat satu saman RM100, kalau lewat bayar denda naik, saya rasa tertindas,” katanya.