Kesemua 222 kawasan parlimen akan ada kompeni Askar Wataniah

Kesemua 222 kawasan parlimen akan ada kompeni Askar Wataniah

Kementerian Pertahanan mensasarkan kesemua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara akan mempunyai kompeni Askar Wataniah sebelum akhir tahun ini.

Copyright © 2009 Askar Wataniah Kementerian Pertahanan Malaysia

Kementerian Pertahanan mensasarkan kesemua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara akan mempunyai kompeni Askar Wataniah (AW) masing-masing sebelum akhir tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sehingga kini sebanyak 207 kawasan Parlimen telah mempunyai kompeni askar wataniah dengan kekuatan seramai 87,000 keanggotaan.

“Ikut rekod, hanya tinggal 15 kawasan Parlimen yang masih belum mempunyai kompeni wataniah dan kita sasar sebelum 31 Dis (tahun) ini, kesemua kawasan Parlimen akan mempunyai kompeni wataniah…sasaran ini juga merupakan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya yang ingin saya capai tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Mesra Riang Riuh dan Program Juara Rakyat di Sekolah Kebangsaan Bandar Puchong 2, semalam.

Ahmad Zahid turut melancarkan pendaftaran askar wataniah kompeni Puchong di tapak karnival itu yang dibuat atas usahasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Beliau berkata kementeriannya juga berharap akan mencapai jumlah sasaran sekurang-kurangnya seramai 300 anggota AW di setiap satu-satu kawasan Parlimen.

“Buat masa ini, purata keanggotaan adalah seramai 150 orang bagi setiap satu kawasan Parlimen dan kita mahu keanggotaan ini bertambah menjadi 300 orang.

“Langkah ini perlu kerana kita mahu menetapkan adanya nisbah satu anggota tetap bersamaan dengan satu anggota simpanan (AW) menjelang 2012 dan satu anggota tetap bersamaan dua anggota simpanan  dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata langkah itu perlu dilaksanakan kerana anggota AW merupakan pasukan pertahanan kedua yang menjaga benteng keselamatan negara selepas anggota tetap dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Bagi memenuhi matlamat ini, kementerian mahukan kerjasama sepenuhnya dari setiap lapisan masyarakat seperti apa yang telah dibuat oleh PIBG sekolah ini yang telah berusaha untuk menubuhkan kompeni AW untuk kawasan Puchong,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang memenuhi syarat disaran untuk menyertai kompeni itu terutamanya kaum-kaum lain selain Melayu.

“Kalau boleh saya mahu kerjasama pihak PIBG dari sekolah jenis kebangsaan untuk menarik minat ibu bapa, guru dan keluarga dari kaum-kaum lain untuk menyertai pasukan askar simpanan, secara tidak langsung ia akan meluaskan lagi konsep Hanruh (konsep Pertahanan Menyeluruh) yang akan memastikan kesejahteraan dan keselamatan negara terus kekal terjamin,” katanya.

– Bernama