Keadaan banjir di Terengganu tidak banyak berubah

Keadaan banjir di Terengganu tidak banyak berubah

Penolong Setiausaha Keselamatan Majlis Keselamatan Negeri Ahmad Redza Arshad berkata jumlah mangsa terkini ialah 1,406 orang berbanding 1,439 pagi tadi.

Keadaan banjir di Terengganu tidak banyak berubah petang ini berbanding pagi tadi.

Penolong Setiausaha Keselamatan (Penerangan) Majlis Keselamatan Negeri Ahmad Redza Arshad berkata jumlah mangsa terkini ialah 1,406 orang berbanding 1,439 orang pagi tadi.

“Seramai 33 orang mangsa di daerah Hulu Terengganu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang ini setelah air hujan yang melimpah surut di
kawasan berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penduduk yang tinggal di pusat pemindahan ialah Besut 560 orang, Setiu 671 dan Hulu Terengganu 175 berbanding 208 orang pagi tadi.

Katanya dalam masa yang sama juga jumlah pusat pemindahan berkurangan kepada 18 petang ini berbanding 21 pagi tadi.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran negeri (JPS) berkata paras air di kebanyakan sungai utama di negeri ini sedang naik berikutan hujan
lebat sejak malam tadi.

Beliau berkata di Besut, di Kampung La paras air terus naik dan kini melebihi tahap bahaya 19.2 meter pada bacaan pukul 1 petang ini.

Begitu juga Sungai Nerus di Setiu sehingga kini paras air di tiga tempat melebihi paras bahaya petang ini berbading dua tempat pada sebelah pagi.

Katanya di Jambatan Permaisuri, air berada di paras 9.14 meter berbanding tahap bahaya 8.8 meter, di Kampung Langkap 22.95 meter (bahaya 22.5 meter) dan Kampung Bukit 13.7 meter (bahaya 12 meter).

– Bernama