Kediaman pelajar IPT jadi sasaran pencuri

Kediaman pelajar IPT jadi sasaran pencuri

Kediaman para pelajar IPT di sekitar Arau menjadi sasaran pencuri dan antara puncanya ialah kelalaian para pelajar meninggalkan rumah dalam keadaan selamat.

Kediaman para pelajar institusi pengajian tinggi di sekitar Arau menjadi sasaran pencuri dan antara puncanya ialah kelalaian para pelajar meninggalkan rumah dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Daerah Arau, Supt Mohd Nadzri Hussain berkata antara Januari dan September lalu, sebanyak 22 kes atau 40 peratus daripada 54 kes pecah rumah di Arau membabitkan kediaman pelajar.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya hari ini, beliau berkata ada di kalangan pelajar yang tidak mengambil berat terhadap keselamatan kediaman mereka malah ada yang membiarkan pintu rumah tidak berkunci semasa mereka meninggalkan rumah.

Beliau menasihati orang ramai dan para pelajar supaya sentiasa memastikan rumah mereka dalam keadaan selamat ketika meninggalkannya supaya tidak menjadi sasaran pencuri.

Dalam kes terbaru, polis mematahkan kegiatan kumpulan Gendut apabila polis melancarkan Ops Pintu Gendut dan menahan lima anggota kumpulan itu yang berumur antara 19 dan 24 tahun termasuk ketuanya yang dikenali sebagai Gendut pada 22 September lalu.

Hasil tangkapan itu Mohd Nadzri percaya pihaknya telah dapat menyelesaikan tujuh kes pecah rumah di kawasan Arau yang juga turut membabitkan kediaman pelajar dan polis juga telah merampas tiga unit laptop, dua beg laptop dan 24
unit telefon bimbit daripada mereka.

Kesemua yang ditangkap itu dikenal pasti sebagai penagih dadah dan modus operandi mereka ialah memilih kediaman pelajar untuk dipecah masuk terutama rumah yang ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci dengan sempurna.

Katanya barang curian itu akan dijual bagi mendapatkan bekalan dadah malah mereka juga melaksanakan kaedah bertukar barang atau ‘barter trade’ antara barang curian dengan dadah daripada pembekal.

Beliau berkata kumpulan itu dipercayai telah melakukan kegiatan itu agak lama tetapi polis yang menubuhkan pasukan khas telah mengesan perbuatan kumpulan itu yang bukan sahaja bergiat di Perlis tetapi juga di Kedah.

Mohd Nadzri berkata pihaknya akan mendapatkan kerjasama kumpulan belia bagi membanteras kegiatan jenayah pada Ahad ini, antara Ibu Pejabat Daerah (IPD) Arau bersama 40 belia akan mengadakan program menasihati orang ramai mengenai langkah pencegahan jenayah di sekitar Arau.

– Bernama