Remaja mati lemas di Sungai Gombak

Keseronokan sekumpulan remaja perempuan mandi-manda di Sungai Gombak berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka lemas semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, Fatin Najihah Kamarulzaman, 14, sedang mandi bersama kembarnya Fatin Nabila dan rakan-rakannya di sungai itu di Kampung Chubadak Dalam, Sentul.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan, PBK II Malik Nik berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 2.27 petang.

“Dua jentera bomba dengan 14 anggota dari Balai Gombak Selatan dan Sentul tiba di tempat kejadian pada 2.46 petang,” katanya.

Penduduk kampung cuba menyelamatkan mangsa namun dia didapati sudah meninggal dunia.

Mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

– Bernama