Angkasa harap Belanjawan 2012 beri insentif kepada sektor koperasi

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berharap Belanjawan 2012 yang akan dibentang Jumaat ini dapat memberi pelbagai insentif dan inisiatif kepada sektor koperasi bagi merangsang pertumbuhan perniagaan koperasi di negara ini.

Timbalan Presiden Angkasa Abdul Fattah Abdullah berkata perniagaan koperasi dapat memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti yang dihasratkan kerajaan, yang mensasarkan lima peratus KDNK menjelang 2013 dan 10 peratus menjelang 2020.

“Ini tidak mustahil dapat dicapai dengan pelbagai pendekatan yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan pihak Angkasa sendiri demi memajukan koperasi agar setanding dengan negara maju,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Abdul Fattah berkata kerajaan diharap dapat menyediakan dana pembangunan perniagaan khusus untuk koperasi yang ingin menceburi perniagaan besar selain peluang perniagaan kepada koperasi dalam usaha menjayakan perniagaan yang lebih besar dan sesuai dengan perkembangan ekonomi semasa.

“Kami juga berharap kadar cukai koperasi sekarang dapat diturunkan kerana pengurangan cukai akan membolehkan koperasi menggunakan lebihan wang itu untuk pembangunan koperasi,” katanya.

Selain itu, Angkasa turut memohon kerajaan menambah peruntukan Tabung Modal Pusingan Perniagaan Koperasi kepada RM1 bilion supaya koperasi boleh menjalankan perniagaan yang menguntungkan anggotanya.

– Bernama