Piket MTUC bantah pindaan Akta Pekerjaan 1955

Seramai 300 ahli kesatuan sekerja MTUC telah mengadakan satu piket di pintu masuk parlimen pada pukul 11.00 pagi untuk membantah pindaan undang-undang terhadap Akta Pekerjaan 1955.

Piket tersebut bertujuan mendesak menteri sumber manusia menarik balik pindaan undang-undang buruh yang menghakis hak pekerja.

Ahli-ahli MTUC mengibarkan kain rentang untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap pembentangan pindaan pada Akta Pekerjaan di parlimen yang masih belum dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC).

MTUC mendakwa pindaan akta tersebut “tidak menyebelahi pekerja”, “menghakis” hak mereka dan dibuat tanpa rundingan dengan kesatuan sekerja, seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Undang-undang berkaitan dengan isu buruh sepatutnya dibincangkan secara terperinci sebelum ia dibentangkan di parliamen untuk bacaan ataupun pindaan.

NLAC adalah badan perundingan yang dianggotai oleh wakil majikan, kesatuan pekerja dan kerajaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S.Subramaniam terlebih dahulu telah mengadakan satu perjumpaan dengan wakil MTUC yang diketuai oleh Presiden MTUC, Khalid Atan.

Khalid telah menyampaikan ketidakpuasan hati MTUC kerana pindaan rang undang-undang tersebut perlu dibincangkan secara mendalam di mesyuarat NLAC terlebih dahulu.

Berikutan daripada pertemuan ini, Subramaniam telah menyatakan bahawa rang undang-undang tersebut tidak akan dibentangkan di dalam sesi parlimen kali ini.

Khalid juga menyatakan bahawa tindakan susulan akan diambil oleh MTUC sekiranya rang undang-undang ini dibentangkan tanpa persetujuan dari NLAC.

Kira-kira 50 anggota polis mula mengawal kawasan parlimen seawal pukul 10.00 pagi. Walaubagaimanapun, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku dan piket telah berlangsung tanpa sebarang gangguan.

Video disunting oleh Tan Kai Swee