Rang undang-undang Kampung Baru ditarik balik

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru yang sepatutnya dibaca kali kedua di parlimen hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, undang-undang kontroversi itu akan digantikan dengan versi baru yang ditambah baik selepas mendapat maklum balas pelbagai pihak.

Sebelum itu, Pakatan mengisytiharkan kemenangan terhadap perjuangan menentang rang undang-undang itu selepas menteri menariknya kembali dalam sidang parlimen ke-12 yang bersambung hari ini.

“Viva, kejayaan untuk Pakatan Rakyat dan arwah Dr Lolo,” kata Tian yang juga naib presiden PRK, merujuk kepada bekas anggota parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ Ghazali yang meninggal dunia Mei lalu akibat barah.

PAS menjadi peneraju utama kempen menentang rang undang-undang itu. Mereka menuntut termanya dirunding semula dengan penduduk, pemilik tanah dan kampung tradisional Melayu.

Rang undang-undang yang antaranya bertujuan menubuhkan perbadanan bagi mengambil alih pembangunan di Kampung Baru dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 14 Disember, 2010.

Bacaan kedua rang undang-undang itu sepatutnya dibuat semasa persidangan Parlimen pada Mac, tetapi ditangguhkan bagi membolehkan tuan tanah dan waris mereka memberi maklum balas.