Anak Datuk Bandar PJ dan dua rakan bebas tuduhan samun

Anak Datuk Bandar PJ dan dua rakan bebas tuduhan samun

Anak Datuk Bandar Petaling Jaya (MBPJ) dan dua rakannya hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menyamun seorang pemilik Cybercafe, tahun lepas.

Anak Datuk Bandar Petaling Jaya (MBPJ) dan dua rakannya hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan menyamun seorang pemilik Cybercafe, tahun lepas.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap penuntut kolej Mohd Radzak Razali, 22, pemandu peribadi Zulhelmi Mohammad, 23, serta Mohd Khairul Amir Mohamad Roslan, 23, penuntut kolej yang juga anak kepada Datuk Bandar PJ Mohamad Roslan Sakiman.

Rozina dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan gagal memanggil pengadu dan mangsa untuk memberi keterangan di mahkamah sebaliknya pihak pendakwaan banyak bergantung kepada keterangan daripada pegawai polis.

“Selain itu pengecaman terhadap tertuduh pertama (Mohd Radzak) dan kedua (Zulhelmi) semasa kawad cam juga diragui kerana berdasarkan keterangan daripada saksi pendakwaan kelima iaitu pegawai penyiasat Inspektor Zaini Mohamad Piah
bahawa tangkapan yang dibuat ke atas kedua-dua tertuduh adalah berdasarkan pengecaman orang awam ke atas kereta dan pengecaman tersebut tidak dibuat berdasarkan individu yang ada di dalam kereta itu,” katanya.

Rozina berkata tiada keterangan mengaitkan tertuduh ketiga iaitu Mohd Khairul memandangkan tertuduh tidak berada di tempat kejadian.

“Adalah tidak selamat untuk sabitkan tertuduh pertama dan tertuduh kedua hanya berdasarkan pengecaman dalam kereta, pihak pendakwaan juga gagal memanggil pemilik kereta untuk membuktikan kaitan kereta itu dengan mana-mana
tertuduh,” katanya.

Mohd Radzak, Zulhelmi dan Mohd Khairul didakwa bersama-sama melakukan samun wang tunai RM450 milik Ng Poh Siong, 35, dengan menggunakan sebilah pisau di Kaunter Kedai Cybercafe No 11&13, Jalan PJS 10/24, Taman Sri Subang dekat sini pada kira-kira pukul 5.30 pagi, 23 Mac 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shah Rizal Abdul Manan manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam masing-masing iaitu P. Sutheswary, MK Thas dan Adzly Ab Manas.

– Bernama