Letupan di Kompleks Empire Gallery, empat cedera ringan

Letupan di Kompleks Empire Gallery, empat cedera ringan

Empat orang termasuk dua pengawal keselamatan cedera ringan dalam satu kejadian letupan di kompleks membeli belah Empire Gallery, Subang Jaya jam 3.45 awal pagi tadi.

Empat orang termasuk dua pengawal keselamatan cedera ringan dalam satu kejadian letupan di kompleks membeli belah Empire Gallery, Subang Jaya jam 3.45 awal pagi tadi.

Letupan tersebut menyebabkan keseluruhan aras bawah kompleks membeli belah itu mengalami kerosakan teruk antaranya cermin pecah, dinding bangunan pecah dan lantai retak serta beberapa buah kereta didapati remuk.

Beberapa laluan jalan raya menghubungkan kompleks membeli belah ditutup buat sementara waktu oleh pihak berkuasa.

Penghuni apartmen tinggal berhampiran dilihat berkumpul diluar perkarangan kompleks membeli belah dan diarahkan anggota pihak berkuasa mengosongkan kediaman buat sementara waktu kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Osman Abdullah berkata jentera bomba pertama sampai kira-kira jam 3.50 pagi.

Menurutnya, setelah sampai dilokasi, berlaku kebakaran di bahagian hadapan melibatkan saluran gas yang dipercayai berpunca dari letupan yang kuat.

“Kami menerima laporan daripada pengawal keselamatan bangunan, terdapat dua orang mangsa pengawal keselamatan berbangsa Nepal terperangkap di bahagian aras bawah (basement) mengalami cedera ringan.

“Manakala dua orang awam berjaya diselamatkan dan mengalami cedera ringan kemudiannya diserahkan kepada  pihak ambulans,” katanya.

Saksi terkejut dengar bunyi ‘bom meletup’

Menurut saksi, Daryl Chua, 27, ketika ditanya masa kejadian berlaku, Daryl tidak mengingati masa kejadian tepat jam berapa.

“Saya anggarkan dalam pukul 3 lebih, ” katanya apabila beliau sedang berjalan bersama teman wanitanya untuk membayar tiket di mesin letak kereta bayaran automatik.

Katanya, ketika sampai di mesin tersebut, tiba-tiba beliau terdengar bunyi ‘bom meletup’ dan serta merta terjatuh diatas permukaan lantai.

“Saya terpaksa memapah teman wanita longlai dan tidak berdaya untuk berjalan keluar dari kompleks membeli belah tersebut kira-kira tiga minit selepas kejadian berlaku,” katanya ketika menceritakan detik cemas itu.

Pada masa yang sama, beliau turut melihat beberapa orang awam dan pengawal keselamatan bertempiaran lari menyelamatkan diri.

” Nasib baik saya dan teman wanita tidak mengalami kecederaan serius, saya hanya mengalami luka kecil di tangan manakala kereta mengalami kerosakan teruk,” katanya.

Punca kejadian masih disiasat

Ketua polis daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata sehingga masa kini, pihak forensik daripada Gombak dengan bantuan anggotanya masih menjalankan siasatan mengenalpasti punca letupan tersebut.

Ditanya jumlah kedai mengalami kerosakan, Zainal Abidin berkata setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan.

“Itu kita belum dapat kira lagi,” katanya pada sidang media dilokasi kejadian.

Tambahnya, kejadian letupan berlaku di aras bawah (basement).

“Gegaran itu amat kuat menyebabkan cermin kedai di tingkat satu banyak yang pecah,” katanya.

Ditanya sama ada letupan berpunca daripada saluran gas, jelasnya, pihaknya masih dan sedang menyiasat punca dari tempat kejadian tersebut.

” Kita sedang mendapatkan rekod dan masih menyiasat punca dan sebab kejadian sebenar, mungkin (jawapan)lewat sikit” katanya.

 Letupan di Empire Gallery tiada kaitan sabotaj

Berdasarkan kepada penyiasatan awal polis sehingga sekarang, tiada sebarang bukti menunjukkan bahawa kejadian letupan ini adalah akibat perbuatan sabotaj atau pengganas, ujar Timbalan ketua polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan.

Katanya, pihaknya menggangap ini adalah satu kemalangan yang kemungkinan berlaku akibat daripada kecuaian.

“Ramai yang telefon (saya) tanya sama ada kejadian ini ada kaitan dengan sabotaj atau pengganas.

” Maksudnya ingin saya tekankan tidak ada unsur sabotaj dan kaitan dengan pengganas (terrorism),” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian kompleks membeli belah Empire Gallery, Subang Jaya, petang tadi.

Mengulas lanjut, A Thaiveegan berkata punca kejadian itu akan disiasat pihak bomba dan agensi berkaitan.

Menurutnya, pihak polis akan menyambung semula siasatan selepas mereka menyelesaikan siasatan tersebut.

“Pihak bomba akan melakukan siasatan menggunakan forensik selepas itu baru kita akan buat kesimpulan sama ada berlaku kecuaian di mana-mana tempat.

Selain itu,A Thaiveegan, pihak bomba juga akan menyiasat bagaimana letupan boleh berlaku.

“Memang kita tahu punca dari gas dan kebocoran gas tetapi apa yang menyebabkan letupan itu boleh berlaku.

“Mesti ada percikan api, jadi sekarang semua agensi dan jabatan berkaitan sedang menyiasat perkara ini,” katanya.

Ditanya berapa lama tempoh siasatan diambil, tambahnya, perkara itu kena tanya pihak bomba.

” Kita bagi mereka masa untuk selesaikannya kerana setiap agensi dan jabatan telah diarahkan lakukan siasatan secepat mungkin bagi memudahkan orang ramai mengetahuinya,” katanya.