Mayat bayi ditemui terapung di Sungai Kroh

Mayat bayi ditemui terapung di Sungai Kroh

Mayat seorang bayi lelaki, yang dipercayai baru dilahirkan, ditemui terapung di Sungai Kroh, Batu 4 1/2 Jalan Ipoh di Kuala Lumpur semalam.

Mayat seorang bayi lelaki, yang dipercayai baru dilahirkan, ditemui terapung di Sungai Kroh, Batu 4 1/2 Jalan Ipoh di Kuala Lumpur semalam.

Mayat itu ditemui oleh anggota peronda balai polis Jinjang yang kebetulan melalui kawasan itu kira-kira 4 petang sebelum membawanya ke tebing sungai.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata sepasukan anggota polis termasuk unit forensik Ibu Pejabat Polis Sentul dihantar ke tempat kejadian sejurus selepas mendapat laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan awal polis mendapati bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu berukuran 35 cm dan dilahirkan tidak cukup bulan, ketika ditemui tubuhnya hampir reput,” katanya semasa dihubungi hari ini.

Zakaria berkata mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

“Kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Sentul di talian 03-62562325,” katanya.

– Bernama