Barangan kafe siber, DVD bernilai RM 80,000 dilupuskan

Barangan kafe siber, DVD bernilai RM 80,000 dilupuskan

Sebanyak 9745 keping cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak serta 353 unit barangan komputer kafe siber haram telah berjaya disita, ujar Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPK, Andry Arman Masrom.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini melupuskan kira-kira 9745 keping cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak serta 353 unit barangan komputer kafe siber haram.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPK, Andry Arman Masrom berkata, barangan komputer kafe siber, DVD dan VCD itu disita pada April dan Disember tahun lalu.

 

“Kita mengganggarkan nilai barang komputer kafe siber haram, DVD dan VCD cetak rompak disita berjumlah RM80,000 di mana tumpuan operasi di sekitar kawasan pasar pagi, pasar malam, restoran serta kedai serbaneka menjalankan beroperasi 24 jam.

“Kita mengenalpasti taktik diguna penjual DVD haram menghampiri pelanggan di restoran dengan menunjukkan salinan tajuk filem dan menyembunyikan DVD dan VCD cetak rompak dalam kenderaan,” katanya kepada pemberita di Jabatan Penguatkuasa MPK, pagi tadi.

Hadir sama pada sidang media, Pengarah Kejuruteraan Anuar ABdul Wahab, Pengarah khidmat pengurusan, Zaireezal Ahmad Zainuddin dan Pegawai jabatan undang-undang, Tun Mohd Syahmi Ahmad Zakaria.

Mengulas lanjut Andry berkata, pihaknya telah melakukan serbuan di 83 premis kafe siber pada tahun lepas manakala 76 premis pada Januari sehingga Ogos tahun ini.

Menurutnya, sebanyak 887 unit barangan komputer kafe siber berjaya dirampas pada tahun ini berbanding 353 unit pada tahun lalu.

” Mereka didapati bersalah didakwa atas kesalahan undang-undang kecil perindustrian 2007 PBT manakala pemilik kafe siber haram menjalankan aktiviti perjudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu, kita mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai dalam usaha membanteras kegiatan ini daripada berleluasa,” katanya.