Isu permit kerja Safee Sali: Cardiff City tidak bincang dengan FAM

Isu yang dihadapi penyerang Safee Sali berhubung permit kerja untuk bermain di kelab Liga Perdana Inggeris  (EPL) Cardiff City dikatakan berpunca daripada tindakan kelab itu yang tidak merujuk isu berkenaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Azzuddin Ahmad berkata FAM sedar isu berkenaan akan timbul sekiranya Safee yang kini menjalani latihan selama dua minggu bersama Cardiff City berhasrat untuk terus menyarung jersi kelab tersebut.

Menurutnya, pemilik Cardiff City dari Malaysia, Chan Tien Ghee perlu bertanggungjawab mengenai isu permit kerja Safee selepas pihak imigresen di United Kingdom enggan mengeluarkan permit tersebut kepada pemain itu.

“Isu ini sepatutnya dijawab sendiri oleh pemilik Cardiff City.

“Cardiff City tidak merujuk dengan sekretariat FAM berhubung isu tersebut sehingga saat-saat terakhir sebelum pemain itu berlepas ke London (pada 11 Sept lepas),” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.

Penyerang sensasi Malaysia itu kini dikatakan menghadapi masalah mendapatkan permit kerja untuk bermain dengan Cardiff City berikutan pihak imigresen di United Kingdom mensyaratkan pemain yang mahu bermain dengan kelab di negara itu mestilah datangnya dari negara di ranking 70 terbaik dunia.

Malaysia kini berada di ranking ke-146 dunia.

– Bernama