Suhakam mohon kuasa penguatkuasan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memohon diberi kuasa penguatkuasaan untuk membantu menyelesaikan isu tanah.

Pesuruhjayanya Detta Samen berkata adalah ideal jika Suhakam mempunyai kuasa untuk membawa sesetengah isu ke mahkamah.

“Saya tidak tahu sama ada boleh dipinda perlembagaan untuk turut meliputi penguatkuasaan, tetapi kita sedang melihatnya. Kita boleh membuat cadangan mengenai perkara ini tetapi akhirnya, bukan kita yang membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas pameran bergerak untuk mempromosi “Inkuiri Kebangsaan Suhakam mengenai Tanah Hak Adat Pribumi Sarawak” di sini.

Terdahulu semasa merasmikannya, Pengerusi Suhakam, Hasmy Agam turut menyentuh mengenai soal penguatkuasaan.

Katanya Suhakam tidak mempunyai kuasa untuk menyelesai masalah khusus tetapi sekadar boleh mendengar, menyiasat dan menganalisis aduan orang ramai, sama seperti institusi lain seperti Majlis Peguam.

Beliau berkata sehubungan itu, pengadu tidak boleh mengharap Suhakam boleh menyelesaikan masalah untuk mereka.

Hasmy berkata sejak penubuhannya 11 tahun lalu,  Suhakam menerima kira-kira 2,000 aduan mengenai isu tanah di seluruh negara.

Dengan negara cepat membangun, akan timbul lebih banyak isu bersabit pencerobohan tanah, katanya.

Sementara itu, Suhakam menerima 13 aduan berkaitan tanah di Kuching, 35 di Serian dan 12 di Betong setakat ini tahun ini.

– Bernama