Pusat perniagaan, tumpuan pelajar jadi sasaran Along

Pusat perniagaan, tumpuan pelajar jadi sasaran Along

Ceti haram atau lebih dikenali sebagai along mula dikesan bergiat aktif menampal iklan pinjaman tidak berlesen dengan menjadikan kawasan perumahan dan pusat perniagaan komersial di Seksyen 7, Shah Alam sebagai sasaran terbaru mereka.

Ceti haram atau lebih dikenali sebagai along mula dikesan bergiat aktif menampal dan menggantung iklan pinjaman tidak berlesen dengan menjadikan kawasan perumahan dan pusat perniagaan komersial di Seksyen 7, Shah Alam sebagai sasaran terbaru mereka.

Bagi mengatasi masalah ini, Pengerusi Majlis perwakilan penduduk (MPP) Zon 3, Sarimah Lisut berkata, pihaknya sedang merancang untuk mengadakan satu gerak kerja bersama penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menanggalkan dan menurunkan iklan tersebut.

Menurutnya, pihaknya juga bercadang untuk mengadakan satu program kesedaran kepada orang ramai berhubung kesan negatif sekiranya meminjam wang daripada ceti haram.

” Kita akan memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah khususnya pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kebanyakan menyewa rumah sekitar kawasan tersebut,” katanya yang juga ahli majlis MBSA.

Mengulas lanjut, Sarimah berkata baru-baru ini beliau pernah terserempak dengan beberapa orang pemuda sedang menggantung iklan along dan memberanikan diri untuk menegur mereka supaya menurunkannya.

” Saya dapati iklan ini “tumbuh bagaikan cendawan” selepas hari raya Aidilfitri, saya sudah berbincang dengan datuk bandar Shah Alam mengenai masalah ini dan akan mengadakan sidang media dalam jangka masa terdekat.

Sehubungan itu, Sarimah menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman kononnya berpatutan dan kadar faedah rendah diberikan oleh ceti haram dan along.

” Kerajaan negeri mempunyai beberapa skim bantuan dan kebajikan antaranya Skim usia emas, pinjaman pelajaran Selangor dan beberapa lagi skim disalurkan khususnya kepada golongan memerlukan.

Sementara itu, tinjauan Komunitikini di sekitar kawasan perumahan dan seksyen 7 Shah Alam mendapati iklan pinjaman tidak berlesen ditampal  dan digantung di merata-rata tempat antaranya papan tanda berhenti, telefon awam dan kotak.

Ia sekali gus mencacatkan pemandangan dan memburuk keadaan sekitar kawasan seolah seperti kempen iklan along sedang berlangsung.