Menara Alor Setar buka tender untuk restoran berputar

Menara Alor Setar membuka tender kepada sesiapa yang berminat untuk mengusahakan restoran berputar yang terletak pada ketinggian 88 meter dari paras laut bagi menggantikan pengusaha lama yang tamat kontrak 10 Sept lepas.

Pengurus Besarnya Hariyati Tahir berkata setakat ini empat tender diterima daripada pengusaha restoran di Kedah, Kuala Lumpur dan orang perseorangan.

“Kita nak mereka sajikan pelbagai jenis makanan dan bukan hanya menumpu kepada satu-satu konsep makanan. Kita tak mahu pelanggan jemu dengan hidangan yang disediakan,” katanya pada¬† majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menara Alor
Setar di sini petang semalam.

Beliau berkata konsep makanan yang disediakan sangat penting kerana pengunjung restoran itu bukan sahaja terdiri daripada pelancong dalam negara malah turut dikunjungi pelancong luar negara.

“Buat masa ini kita tutup dahulu restoran itu sementara mendapat tender baru tetapi sesiapa yang nak membuat sebarang aktiviti dan jamuan, mereka boleh berurusan terus dengan kami dan kami akan uruskan semuanya termasuk konsep makanan dan bajet mereka. Buat sementara waktu ini, kami yang akan uruskan restoran itu bergantung kepada tempahan yang kami terima,” katanya.

Hariyati berkata pengusaha baru restoran itu dijangka dipilih akhir bulan ini dan mereka mungkin akan memulakan operasi bulan depan.

– Bernama