Pekerja Alam Flora ‘tidak gembira’ dibayar gaji tanpa bekerja

Seramai 850 pekerja pengutip sampah syarikat Alam Flora di Selangor tidak gembira malah bimbang walaupun mereka
dibayar gaji tanpa membuat sebarang kerja.

Ini adalah sesuatu yang luar biasa tetapi pekerja terbabit yang “menganggur” sejak 1 Ogos tidak gembira kerana kerajaan Selangor telah menamatkan kontrak Alam Flora dan syarikat ini tidak dapat memberikan mereka kerja.

“Pekerja berkenaan bimbang syarikat ini tidak akan terus membayar gaji mereka sekiranya kontrak tidak diperbaharui atau ia gagal mencari pekerjaan ganti kepada mereka,” kata naib presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) A. Balasubramaniam, yang ingin membawa soal kedudukan pekerja itu kepada kerajaan negeri Selangor.

Beliau berkata sebelum ini pekerja terbabit diambil bekerja di kawasan pihak berkuasa tempatan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling Jaya, Shah Alam, Selayang, Ampang, Banting, Sepang dan Kajang sebagai pengutip sampah, tukang sapu jalan dan pekerja am tetapi sekarang nasih mereka terumbang-ambing kerana syarikat itu mungkin menghentikan bayaran gaji mereka pada bila-bila masa.

Balasubramaniam memberitahu Bernama bahawa kerajaan Selangor tidak memikirkan kebajikan pekerja berkenaan ketika menamatkan kontrak dengan Alam Flora.

Kerja yang sebelum ini dibuat oleh Alam Flora kini diserahkan kepada kontraktor persendirian lain dan sesetengah majlis perbandaran menggunakan pekerja mereka sendiri membuat kerja tersebut.

Balasubramaniam berharap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim campur tangan dan mencari penyelesaian terbaik kerana pekerja terbabit adalah golongan berpendapatan rendah dan menyara keluarga mereka.

– Bernama