Ahli-ahli Majlis Bandaraya Shah Alam nafikan laporan akhbar

Ahli-ahli Majlis Bandaraya Shah Alam nafikan laporan akhbar

Sekumpulan ahli majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tampil menafikan sekeras-kerasnya laporan sebuah akhbar tempatan semalam menyatakan mereka memboikot mesyuarat bulan kerana tidak dapat kontrak penyelenggaraan pada 24 Ogos lalu.

Sebahagian ahli majlis MBSA yang hadir pada sidang media

“Kenyataan dilaporkan bahawa kami memboikot kerana kecewa dengan tindakan Datuk Bandar, Mohd Jaafar Mohd Atan tidak memberikan kerja-kerja penyelenggaraan adalah tidak benar dan berasas sama sekali,” ujar Ketua Whip mewakili ahli majlis MBSA, Kamarudzaman Sanusi.

Sekumpulan ahli majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tampil menafikan sekeras-kerasnya kenyataan sebuah akhbar tempatan semalam menyatakan mereka memboikot mesyuarat bulan pada 24 Ogos lalu.

Izham (kiri) dan Kamarudzaman (kacamata) semasa sesi soal jawab bersama pemberita

Sambil menyifatkan tuduhan dilemparkan tidak berasas, Ketua Whip mewakili ahli majlis MBSA, Kamarudzaman Sanusi turut mempersoalkan maklumat dilaporkan itu diperolehi daripada siapa.

“Kita sudah tanya setiap ahli majlis MBSA dan mereka menafikan sekerasnya, yang peliknya hanya akhbar itu yang laporkan dan sumber tidak diketahui namanya,” katanya kepada pemberita di pejabat ahli majlis perwakilan penduduk (MPP) Zon 3, Shah Alam, tengahari tadi.

Pada sidang media itu, kumpulan terdiri seramai 7 orang ahli majlis MBSA yang hadir turut menolak dakwaan mereka memboikot kerana kecewa dengan tindakan Datuk Bandar, Mohd Jaafar Mohd Atan atas alasan tidak memberikan kerja-kerja penyelenggaraan kepada mereka atau rakan kroni.

Mengulas lanjut mengenai ketidakhadiran, Ahli majlis MBSA Zon 16, Ir Izham Hasim berkata apabila bilangan ahli majlis yang hadir mesyuarat penuh tidak ramai, itu tidak membawa erti yang mereka memboikot mesyuarat.

Menurutnya, dalam mesyuarat bulanan sebelum ini pun tidak akan pernah 100 peratus kehadiran penuh.

“Ini kerana kita (ahli majlis) hanyalah sambilan bukannya sepenuh masa, kebetulan pada tarikh yang dimaksudkan, ramai yang bercuti membuat persiapan hari raya, komitmen kerja dan ada yang keluar negara sama ada mengerjakan umrah mahupun demi tugas,” katanya.

Bagi memastikan mesyuarat bulan berjalan lancar, Izham berkata, pihaknya  “terpaksa” mengarahkan beberapa ahli majlis agar membatalkan cuti mereka dan hadir ke mesyuarat tersebut bagi menjamin supaya mesyuarat dapat diteruskan.

Menurutnya, mereka percaya perkara itu berlaku disebabkan “kemungkinan adanya berlaku salah faham serta salah maklumat pemberi maklumat”.

“Niat serta tujuan pemberi maklumat tersebut berbuat demikian juga kami tidak ketahui.

“Kemungkinan ia datangnya daripada mereka yang sering menyertai proses undian, tetapi tetap gagal ataupun cetusan dari musuh politik kami yang ingin menggugat perjalanan MBSA serta hubungan akrab antara ahli majlis dan Datuk Bandar,” tegasnya.

Ditanya sama ada mahu akhbar terbabit memohon maaf, Izham berkata pihaknya berpendapat masih belum sampai ke tahap itu.

“Kita tidak akan mengambil tindakan kerana isu ini kecil dan sebenarnya berpendapat tidak mahu mengadakan sidang akhbar (hari ini).

“Kami lebih bersifat ‘low profile’ tetapi oleh kerana isu (spekulasi) ini, maka keadaan memaksa kami untuk ‘timbul’,” ujarnya.