Juruteknik mengaku tidak salah atas tuduhan minta rasuah

Juruteknik mengaku tidak salah atas tuduhan minta rasuah

Seorang bekas juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini terhadap dua pertuduhan berkaitan rasuah April lepas.

Seorang bekas juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, hari ini terhadap dua pertuduhan berkaitan rasuah April lepas.

Fadzly Ahmad, 32, bekas pekerja Ranhill Water Services Sdn Bhd, dekat Kluang, dituduh meminta suapan RM2,000 daripada seorang kerani nurseri, Kwang Pei Shan sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kepada pihak Syarikat Air Johor kerana nurseri yang diurus oleh Simple Farm Sdn Bhd dikatakan melakukan kesalahan dengan menggunakan sistem paip air yang disambung daripada bangunan persendirian.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di alamat nombor 11, tingkat 1, Jalan Intan 7/1, Taman Intan, Kluang, kira-kira pukul 12 tengah hari, 1 April lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Fadzly dituduh menerima suapan RM2,000 daripada pemilik nurseri Simple Farm Sdn Bhd terbabit, Tam Chee Ming, bagi tujuan yang sama, kira-kira pukul 5.40 petang, di alamat yang sama, 2 April lepas.

Bagi kedua-dua kes beliau dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama, yang boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda suapan mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Nasir Nordin menetapkan wang jaminan RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan 14 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pertuduhan terhadap Fadzly dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Norzieaina Mohd Khalib.

– Bernama