Seramai 497,691 calon duduki UPSR, bermula hari ini

Seramai 497,691 murid tahun enam menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai hari ini sehingga Khamis
di 8,235 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 23,467 calon berdaftar bagi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ketua Meja Pegawai UPSR Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Rahimin Ahmad berkata untuk tahun ini, 257 pusat peperiksaan disediakan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Sekolah Kebangsaan St John 1 mendapati ibu bapa menghantar anak-anak mereka yang menduduki peperiksaan itu seawal 7 pagi.

Guru besar sekolah, Cik Jamaliah Mohd Jamal berkata terdapat 83 calon berdaftar di sekolah itu.

Di Sekolah Kebangsaan Taman Keramat 1 pula, seramai 132 calon menduduki peperiksaan di empat pusat peperiksaan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi menasihati semua calon supaya menjaga kesihatan terutama ketika keadaan jerebu ketika ini.

“Saya minta pelajar sentiasa berhati-hati dan jaga kesihatan agar tidak mengganggu mereka menduduki peperiksaan selama tiga hari… ibu bapa pun saya harap agar sentiasa berikan semangat kepada anak-anak mereka,” katanya ketika
dihubungi Bernama di sini, hari ini.

– Bernama