Kementerian minta penjelasan isu parkir kereta di Bukit Bendera

Kementerian minta penjelasan isu parkir kereta di Bukit Bendera

Kementerian Pelancongan meminta penjelasan daripada Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung kegagalan projek meletak kereta bernilai RM5 juta di kaki Bukit Bendera dibuka kepada orang ramai.

Kementerian Pelancongan meminta penjelasan daripada Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung kegagalan projek meletak kereta bernilai RM5 juta di kaki Bukit Bendera dibuka kepada orang ramai.

Menterinya Dr Ng Yen Yen berkata projek tersebut diserahkan kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) selaku agensi pelaksana.

“Kita sangat kecewa kerana projek yang bermula pada Ogos 2009 masih tidak dapat dibuka kepada orang ramai dan kita mahu penjelasan daripada Lim selaku Pengerusi PDC,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MCA negeri di sini hari ini.

Dilaporkan sebelum ini bahawa projek yang dibiayai kerajaan persekutuan itu gagal memperolehi sijil layak menduduki (CF) daripada Majlis Perdandaran Pulau Pinang (MPPP).

Ng berkata Lim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Air Putih perlu memastikan projek tersebut berjalan lancar demi faedah rakyat di kawasannya.

Beliau berkata dalam rancangan awal, projek tersebut sepatutnya siap pada Disember tahun lalu tetapi ia hanya siap pada penghujung Mac tahun ini.

Beliau yang juga Pengerusi MCA Pulau Pinang meminta Lim agar tidak menunding jari kepada pihak lain dan mula mencari penyelesaian kepada perkara tersebut.

“Saya berharap pada musim perayaan akan datang, orang ramai boleh menggunakan tempat meletak kereta bertingkat tersebut bagi mengelakkan kesesakan di situ,” katanya.

– Bernama