Suspek mati dalam kemalangan selepas dipercayai merompak dan membunuh

Suspek mati dalam kemalangan selepas dipercayai merompak dan membunuh

Seorang kontraktor syarikat perkapalan maut, manakala isterinya cedera parah selepas ditetak dalam satu rompakan di
kediaman mereka di Jalan Tasek 24, Bandar Seri Alam, hari Selasa.

Seorang kontraktor syarikat perkapalan maut, manakala isterinya cedera parah selepas ditetak dalam satu rompakan di
kediaman mereka di Jalan Tasek 24, Bandar Seri Alam, hari Selasa.

Mangsa, S. Vijayaratnam, 47, yang ditetak di belakang kepala disahkan meninggal dunia pukul 12.04 malam selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Regency di sini, manakala isterinya, G. Vijayalakshmi, 45, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Mereka dipercayai dirompak oleh empat lelaki bersenjatakan parang.

Salah seorang suspek berusia 39 tahun turut maut apabila kereta Proton Perdana milik mangsa yang dilarikan bersama rakannya terbabas lalu merempuh sebatang pokok kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa.

Menurut pembantu rumah mangsa warga negara India, P. Rasathi, 31, ketika kejadian pukul 7.30 malam itu, kedua-dua majikannya sedang bersembahyang di luar rumah manakala anak kedua mereka V. Deeliip, 12, berada di bilik di tingkat
atas.

Rasathi yang bercakap kepada pemberita menggunakan seorang penterjemah berkata beliau tidak sedap hati terus masuk ke dalam rumah sebaik melihat kedua-dua suspek masuk ke dalam rumah dan sempat menarik Vijayalakshmi ke dalam
bilik air.

“Mereka tendang pintu bilik air sehingga pecah dan sebaik keluar saya lihat tuan diacu dengan parang,” katanya dalam bahasa Tamil ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Perompak tersebut kemudiannya membawa pasangan berkenaan ke tingkat atas sebelum menggeledah dan mencari barangan berharga.

Vijayaratnam ditetak kerana anaknya enggan keluar dari bilik yang dikunci dari dalam sebaik menyedari rompakan itu.

Rasathi yang terlalu takut turut menyerahkan barangan kemas miliknya kepada penjenayah terbabit.

Dia lega kerana ketika kejadian anak ketiga majikannya itu, V. Sevendran, 6, tiada di rumah kerana pergi ke kelas tambahan, manakala anak sulung, V. Nishindren, 18, menuntut di sebuah kolej swasta di Mantin, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Johor, Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, sebaik sampai di lokasi kemalangan pihaknya menemui dua daripada suspek dalam keadaan parah.

“Suspek yang memandu kereta curi tersebut meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya berusia 31 tahun cedera parah.

Polis turut menemui semula barang kemas dan telefon bimbit milik mangsa dalam kereta tersebut,” katanya.

Polis masih memburu dua lagi rakan suspek dan tidak menolak kemungkinan kesemua suspek sedang mabuk ketika melakukan rompakan.

Katanya, suspek yang mati dan yang cedera parah itu tidak memiliki rekod jenayah lampau dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

– Bernama