Anak yang membesar di kepala

KOTA KINABALU – Penderitaan sekeluarga yang mana anak mereka cacat tumbesaran dan dilawat Wanita UMNO.

Ibu mana yang tidak sebak hatinya melihat keadaan anak yang terlantar sakit dan kurang bermaya sejak berumur sebulan.

Ketika ibu-ibu lain sedang terhibur melihat telatah anak-anak mereka yang sihat, apa yang berlaku pada Nornie Abdul Rashidi, adalah yang sebaliknya.

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Begini keadaan kanak-kanak lelaki Mohd Hafizan Mohd Hafiz.

Ibu muda berusia 20 tahun ini terpaksa menerima kenyataan keadaan anak tunggal lelakinya, Mohd Hafizan Mohd Hafiz yang kini berusia dua tahun, dengan keadaan kepalanya yang semakin membesar semenjak bayi.

Sebagai seorang ibu, naluri yang penting baginya sekarang ialah melihat anaknya sihat dan menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.

Menurut Nornie, pelbagai kaedah perubatan telah diusahakan, namun, keadaan kepala anaknya itu semakin hari semakin membesar dan menyukarkan pergerakannya.

See also  Safeguarding children's privacy on social media

Mereka juga telah berulang kali turun naik ke hospital bagi tujuan mendapatkan rawatan, tetapi tiada sebarang perkembangan positif, katanya sebak.

Simpati dengan keadaan kanak-kanak itu, Pergerakan Puteri UMNO Sepanggar telah melawat keluarga Nornie di Kampung Karambunai, Sepanggar kelmarin.

Lawatan itu diketuai oleh Penolong Setiausaha Puteri UMNO Sabah Aziah Atoh, yang juga Ketua Puteri UMNO Sepanggar, bersama-sama dengan ahli-ahli yang lain.

Hasil daripada kunjungan itu, Aziah berjanji akan membantu dengan memanjangkan permohonan agar keluarga kanak-kanak ini mendapat bantuan Orang Kurang Upaya menerusi Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna dan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Sabah

Nasib kanak-kanak ini selayaknya mendapat perhatian.

Gary Louis Supi