Harimau berkeliaran, penduduk kampung di Kulim mula bimbang

Harimau berkeliaran, penduduk kampung di Kulim mula bimbang

Lebih 400 penduduk di Kampung Wang Pinang dan Kampung Padang Tembak di sini berada dalam keadaan bimbang apabila kisah terjumpanya harimau berhampiran dengan kampung mereka heboh menjadi bahan bualan sejak beberapa hari lepas.

Lebih 400 penduduk di Kampung Wang Pinang dan Kampung Padang Tembak di sini berada dalam keadaan bimbang apabila kisah terjumpanya harimau berhampiran dengan kampung mereka heboh menjadi bahan bualan sejak beberapa hari lepas.

Paling bimbang adalah mereka yang memiliki haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Padang Tembak Hashim Md Isa berkata sehingga kini terdapat dua keluarga yang menternak kira-kira 30 ekor lembu dan 40 ekor kambing yang menjadikan kawasan hutan berhampiran kampung itu sebagai tempat meragut rumput setiap hari.

“Tapi sehingga kini kami tidak pun medapat sebarang laporan yang lembu atau kambing dibaham haiwan liar itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Khamis lepas, seorang penoreh getah yang dalam perjalanan ke kebun terserempak dengan dua ekor harimau berkeliaran dan telah menggunakan letusan mercun untuk mengusir haiwan itu tetapi gagal serta terpaksa berpatah balik dan meminta bantuan penduduk tempatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, penoreh getah yang berusia dalam lingkungan 60-an itu menggunakan telefon bimbitnya untuk menghubungi seorang adiknya yang memaklumkan kepada Pasukan Persatuan Prihatin dan Kepartian

Masyarakat Kulim (PPKM) iaitu satu pertubuhan cegah jenayah sukarela di sini yang berkejar ke tempat kejadian berhampiran Kampung Padang Tembak.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihaknya telah dimaklumkan dengan kejadian itu dan memaklumkannya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah untuk tindakan susulan.

Sementara itu, Perhilitan Kedah sedang menjejak dua ekor harimau yang dikatakan berkeliaran di sekitar kampung tersebut sejak semalam.

Pengarahnya Rahim Ahmad berkata sehingga kini tiga orang renjer jabatan berkenaan dari Pejabat Perhilitan Daerah Baling berada di lokasi yang dilaporkan seorang penoreh getah terserempak dengan dua ekor haiwan liar itu dalam perjalanan ke kebunnya.

“Anggota-anggota jabatan telah ke lokasi berkenaan sejak petang semalam dan mereka telah bermalam dalam kawasan hutan Bukit Besar di situ dan sehingga ini mereka tidak menemui sebarang kesan atau jejak tapak harimau yang dikatakan
penduduk telah berkeliaran di sekitar kampung-kampung berkenaan,” katanya.

Pengerusi PPKM Khor Eng Hing, 48, berkata seperti maklumat yang diperoleh daripada penoreh getah dari Selama, Bandar Baharu yang terserempak dengan harimau-harimau tersebut, mereka menganggarkan berat seekor daripadanya adalah 80 kg dan seekor lagi pula 30 kg.

“Anggota-anggota kami juga berjaya menjejak bekas tapak kaki harimau berkenaan sekitar kawasan kira-kira 500 meter dari Kampung Padang Tembak di situ,” katanya kepada Bernama hari ini.

– Bernama