Kota Kinabalu lengang pada hari pertama Tahun Baru Cina

KOTA KINABALU – Keadaan bandar Kota Kinabalu lengang akibat perayaan Tahun Baru China.

Pada hari-hari biasa, laluan kenderaan di beberapa tempat utama sekitar Kota Kinabalu tidak lancar dan sesak dengan kenderaan.

Kawasan-kawasan yang dimaksudkan ialah Lido, Lintas, Damai, Putatan, Sembulan dan lain-lain.

Kawasan Kota Kinabalu menjadi lengang. Pada hari biasa, ia penuh sesak dengan kenderaan.

Setiap hari, kecuali hari Ahad, pergerakkan kenderaan di semua kawasan ini tidak lancar dan berkeadaan sesak.

Masa yang dikenal pasti adalah pagi, tengahari dan petang.

Namun, perubahan amat ketara pada hari pertama Tahun Baru Cina. Jalanraya di kawasan-kawasan ini kelihatan lengang dengan jumlah kenderaan jauh ketara berkurangan.

Bermula dari bandar Donggongon di Penampang hingga ke lampu isyarat Lido, keadaan trafik cukup lancar tanpa sebarang sekatan.

Kawasan Sembulan berhadapan Masjid negeri turut lengang.

Begitu juga dari Lido hingga ke Lintas, Damai, Kota Kinabalu dan seterusnya Sembulan. Pengurangan jumlah kenderaan amat jauh berbeza.

Pada hari biasa waktu yang sama, tempat-tempat ini padat dengan kenderaan yang berbaris panjang di lampu-lampu isyarat.

Ia bermula seawal sebelum 6.30 pagi dan hanya reda sekitar 10 pagi.

Namun pada hari pertama perayaan tersebut, tiada barisan kereta kelihatan di kawasan lampu isyarat Lido, Lintas, Damai, Sembulan dan lain-lain.

Masa perjalanan juga telah dikurangkan kepada separuh.

Sebagai contoh, masa yang diambil untuk ke Kota Kinabalu dari Donggongon dengan mengikuti jalan Penampang adalah lebih kurang 20 minit atau lebih pada hari-hari biasa.

Tapi pada hari tersebut, masa perjalanan ialah bawah 10 minit walaupun gaya memandu secara santai.

Manakala di bandaraya Kota Kinabalu pula, kebiasaanya pada hari Ahad, kawasan sekitar Jalan Gaya dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) padat dengan kenderaan kerana berlangsungnya Tamu mingguan.

Kawasan Tamu Jalan Gaya kebiasaan sesak pada hari Ahad, tetapi tidak pada hari pertama perayaan.

Namun pada hari tersebut, walaupun adanya Tamu mingguan, kawasan tersebut adalah lengang dan keadaan trafik sangat lancar.

Keadaan yang sama juga dilihat di kawasan Sembulan.

Di kawasan Putatan pula, kenderaan lebih banyak daripada kawasan lain yang disebutkan tetapi masih kurang jika dibandingkan pada hari-hari biasa.

Terdapat perlanggaran kecil dua buah kereta dikawasan berhampiran simpang masuk Hypermarket servay. Namun, kelancaran pergerakan kenderaan tidak terjejas.

Sebelum itu, Citizen Journalists Malaysia (CJMY) dimaklumkan kawasan Lokkawi sesak dengan kenderaan yang berbaris panjang.

Walaubagaimanapun, ketika melalui kawasan tersebut semasa dalam perjalanan ke Papar, keadaan trafik telah lancar semula tanpa sebarang gangguan.

Kelihatan juga seorang anggota trafik yang sedang bersiap sedia untuk meninggalkan tempat itu.

Tidak dapat dipastikan apa sebenarnya yang berlaku.

Keadaan sama di kawasan hospital Queen Elizabeth berdekatan Sembulan pada sebelah petang.

Perjalanan ke Papar daripada Kota Kinabalu juga lancar dengan masa perjalanan yang lebih singkat dari kebiasaan.

Ketika menziarahi rakan yang menyambut Tahun Baru Cina di Papar, CJMY dimaklumkan mengenai keadaan bandar Papar yang sunyi sepi kerana hampir semua kedai ditutup.

Keadaan yang lengang di semua kawasan ini tentunya disebabkan oleh perayaan ini dimana kebanyakkan orang, terutamanya kaum Cina, mengambil kesempatan berada di rumah.

Selain itu, ramai juga yang pulang menggunakan kenderaan masing-masing ke kampung halaman yang terletak di luar Kota Kinabalu seperti Sandakan, Kudat, Lahad Datu, Tawau dan lain-lain.

Namun, jalanraya dilihat menjadi sesak semula pada pertengahan minggu lalu.

Beginilah keadaan jalanraya menuju pantai Tanjung Aru.

Gary Louis Supi