Mat Rempit antara ‘sasaran’ bantu atasi jenayah samun, ragut

Mat Rempit antara ‘sasaran’ bantu atasi jenayah samun, ragut

Persatuan Pengguna Subang Jaya dan Shah Alam (CASSA) bercadang melaksanakan projek perintis sukarela menyasarkan penglibatan kira-kira 500 pengguna motosikal seluruh Lembah Klang bagi menangani jenayah samun dan ragut semakin berleluasa.

Persatuan Pengguna Subang Jaya dan Shah Alam (CASSA) bercadang melaksanakan projek perintis sukarela menyasarkan penglibatan kira-kira 500 pengguna motosikal seluruh Lembah Klang bagi menangani jenayah samun dan ragut semakin berleluasa.

Presidennya, Dr  Jacob George berkata ia berikutan aduan diterima daripada beberapa individu baru-baru ini mendakwa menjadi mangsa jenayah samun dan ragut di stesyen minyak, pusat membeli belah dan pasaraya kecil menjelang musim perayaan.

“Bagaimanapun pelaksanaan projek perintis ini masih di peringkat awal memerlukan kajian terperinci serta perbincangan bersama pihak berkuasa.

“Sehubungan itu, saya akan mengemukakan cadangan ini kepada menteri dalam negeri dan ketua polis Selangor berharap mendapat maklum balas positif,” katanya kepada pemberita di Subang Jaya, tengahari tadi.

Mengulas lanjut, Dr Jacob berpendapat sekiranya projek perintis ini mendapat maklum balas positif sudah pasti akan meringankan bebanan dihadapi anggota polis.

Menurutnya, pada peringkat permulaan, projek perintis akan dilaksanakan di seluruh Lembah Klang terlebih dahulu dalam tempoh terdekat.

“Sekiranya mendapatkan sambutan menggalakan dari pengguna motosikal, kemungkinan besar penyertaan ini akan diperluaskan ke negeri lain,” katanya.

Ditanya mengenai syarat kriteria diperlukan menyertai projek perintis, Dr Jacob berkata penyertaan terbuka kepada penunggang motosikal pelbagai peringkat usia termasuk mat rempit khususnya yang berminat dalam usaha menangani jenayah samun dan ragut.

“Mereka boleh menghubungi talian hotline 016-3261700 untuk mendapatkan maklumat lanjut atau mengunjungi pejabat CASSA terletak di Taman TTDI Jaya Shah Alam,” katanya.