Appy Tots: Pemuzik dan penghibur tempatan dianaktirikan

Appy Tots atau nama sebenarnya Hilfiazri Bin A. Halim yang pernah berkongsi pentas dengan artis popular tempatan dan artis luar negara seperti Ronan Keating berkata kerjaya sebagai pemuzik sangat bergantung kepada permintaan.

“ Persaingan di antara pemuzik tempatan juga sangat hebat kerana terdapat banyak pemuzik di Sabah, sedangkan peluang adalah kurang berbanding dengan kota-kota di Semenanjung,” ujar beliau.

Artis luar diutamakan

Menurutnya, keadaan ini disukarkan lagi dengan sikap mengecewakan orang-orang tempatan yang lebih mendambakan bakat-bakat luar.

Ini menyebabkan persaingan dunia hiburan lebih sengit sehingga banyak pemuzik tempatan yang putus asa dan mengambil jalan lain untuk menyara kehidupan ujar Hilfiazri, yang bakal muncul dengan album keduannya pada

pertengahan tahun.

Hilfiazri  juga menyindir sikap ego penganjur dan pemilik-pemilik kelab di Sabah yang sering memberi bayaran terlalu murah kepada pemuzik tempatan berbanding dengan pemuzik dari luar negara .

Menurutnya, nasib artis tempatan adalah umpama kera di hutan disusukan anak sendiri di rumah mati kelaparan.

“Ia tidak setimpal dengan titik peluh yang dikeluarkan,”

“Sebagai seorang pejuang seni tempatan, saya merasa terhina dengan sikap seperti ini yang merendahkan kerjaya saya sebagai seorang penghibur,”

Penghibur sejak berumur 4 tahun

Bakat muzik Hilfiazri telah terserlah  yang sejak kecil dan mula membuat persembahan dalam rancangan Radio Television Malaysia (RTM) ketika berusia empat tahun.

Walaupun kini beliau telah berkeluarga dan mempunyai dua orang cahaya mata, perjuangan dalam dunia muzik masih diteruskan.

Beliau percaya, artis Sabah juga berkemampuan untuk sampai ke peringkat antarabangsa.

“Impian saya dalam bidang muzik adalah untuk pergi ke tahap lebih tinggi dan membuktikan artis Sabah juga mampu bersaing di industri muzik antarabangsa,”

“Ini akan memberi semangat kepada artis tempatan lain untuk bekerja lebih gigih untuk mengetengahkan muzik orang kita,”

Tidak putus asa

Kini beliau sering diundang membuat persembahan di Café Party Play yang terletak di Gaya Street, Kota Kinabalu pada setiap malam Jumaat dan Sabtu.

Selain itu, beliau turut menerima undangan dari seluruh Sabah untuk membuat persembahan dalam konsert-konsert, pesta keramaian, majlis makan malam dan acara perkahwinan.

Sebelum mengakhiri perbualan, Hilfiazri melahirkan harapan agar industri muzik tempatan akan terus mengorak langkah ke hadapan.

“Saya berharap, industri muzik tempatan akan lebih maju di masa depan dan mendapat bayaran yang sepatutnya,”

“Saya juga berharap agar pemuzik tempatan akan memajukan diri sendiri, mengurangkan propaganda di antara pemuzik, menghormati sesama kita, tidak berkroni dan bersatu demi kebaikan kita semua,”

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE