Penjaja tempatan tidak diberi kemudahan

Isu penjaja tempatan yang sering dihalau daripada berjaja di jejantas Segama pernah menjadi isu hangat  lebih kurang 10 tahun yang lepas.

Ketika itu, penjaja berniaga dalam keadaan ketakutan kerana bimbang pegawai penguatkuasa tempatan yang datang menyerbu pada bila-bila masa.

Ini menyebablan pendapatan mereka terjejas dan tidak menentu.

Hari ini, isu itu telah diselesaikan dan berlalu kerana mereka telahpun diberi kebenaran oleh pihak berkuasa untuk berjaja di tempat itu.

Baru-baru ini, suatu tinjauan telah dilakukan oleh Citizen Journalist Malaysia (CJMY) untuk mengetahui perkembangan terbaru penjaja ini.

Ninu linting telah berjaja sekitar kota Kinabalu lebih 20 tahun

Seorang penjaja yang telah berjaja lebih 20 tahun di sekitar Kota Kinabalu berkata, pendapatan beliau sekarang adalah lebih stabil.

Berbanding dengan keadaan sebelum ini, pendapatan Ninu Linting, 50, adalah lebih baik.

“ Kalau dulu memang susah sikit. Kadang-kadang saya tidak berjaja kerana tidak mahu dihalau penguatkuasa. Jadi, pendapatan pun sangat kurang,” kata Ninu yang pernah dihalau penguatkuasa.

“ Sekarang, pendapatan saya boleh sampai RM100 sehari. Tetapi kadang-kadang tiada pendapatan langsung. Kalau dahulu, setakat cukup makan saja. Itu pun bukan selalu, ” tambah beliau.

Tetapi, sekurang-kurangnya hari ini dia tidak lagi berjaja dalam keadaan berhati-hati dan ketakutan akan kehadiran penguatkuasa, ujar beliau dalam kelegaan.

Seorang penjaja yang telah tiga tahun berniaga disitu, Ling Gaan pula berkata, beliau tidak pernah mengalami apa yang dilalui oleh Ninu Linting.

Tetapi beliau seringkali mendengar pengalaman-pengalaman yang diceritakan oleh penjaja-penjaja yang pernah melaluinya.

“Mereka terpaksa mencari masa yang sesuai dan mengagak masa penguatkuasa datang.  Jika mereka rasa hari tu tiada penguatkuasa, maka mereka berjaja. Tapi kadang-kadang susah agak masa sebab mereka boleh datang bila-bila masa. Lagipula, pejabat mereka cukup dekat,” ujar Ling.

“Tapi pendapatan penjaja-penjaja  ada peningkatan selepas dibenarkan berniaga di sini,” ujar beliau lagi.

Apabila ditanya mengenai pendapatan beliau sekarang, dia berkata, adakalanya pendapatan yang diperolehi adalah baik.

“Ia bergantung kepada kepada apa yang pelanggan beli. Kadang-kadang ada yang beli barangan yang harga murah. Ada juga yang beli yang mahal. Tapi kadang-kadang, tiada langsung yang beli.  Terasa susah juga untuk kekalkan pendapatan,”

Ling Gaan menjual cincin dan barangan tembaga, dan sentiasa laris serta mendapat tempat di hati pembeli samada penduduk tempatan atau pelancong.

Ling Gaan menunjukkan 'Tangkong' yang dijualnya dengan harga RM700 satu set.

“Pelancong biasanya membeli dengan banyak berbanding dengan orang tempatan. Cuma kedatangan mereka hanya masa-masa tertentu,” tambah beliau yang bersyukur kerana dapat berjaja tanpa ada perasaan takut.

Menurut Sainis Jomom yang juga merupakan seorang penjaja, walaupun isu itu telah lama selesai dan pendapatan mereka kian stabil, tetapi beliau masih kesal dengan layanan yang diterima daripada pihak berkuasa.

“ Orang-orang Filipina diberi tempat yang selesa untuk berniaga di Filipino Market. Tetapi kami hanya diberi tempat di sini,”

“Bayangkan perasaan kami apabila pelancong asing bertanyakan arah Filipino Market. Mungkin mereka jumpa tempat ini hanya secara kebetulan. Mungkin pendapatan kami boleh meningkat jika di promosikan, ” katanya cukup vokal.

Sainis juga mengaku tidak mahu berpindah ke  tempat lain kerana sudah serasi dengan tempat itu.

“Kami cuma berharap agar pihak berkuasa dapat membaiki kemudahan di sini. Kami memang tidak selesa kerana terpaksa duduk di lantai. Badan pun sakit,”

Terdapat lebih kurang 15 hingga 20 penjaja yang sering berniaga di situ bermula jam lapan pagi hingga lima petang.

Kebanyakkan mereka berbangsa Rungus dan berasal daripada Kudat.

Mereka menjual barangan  tembaga, bahan perhiasan tradisi, barangan cenderahati, tembakau dan lain-lain, yang berharga RM5 sehingga RM700.

  
Antara barangan yang diperagakan atas lantai.

Tamat