Mercun sebanyak 780 kilogram dirampas sepanjang Ramadan di Terengganu

Mercun sebanyak 780 kilogram dirampas sepanjang Ramadan di Terengganu

Kastam Diraja Malaysia Terengganu menahan tiga lelaki dan merampas 780 kilogram mercun serta bunga api bernilai kira-kira RM21,868 melibatkan lima kes sepanjang bulan Ramadan ini.

Kastam Diraja Malaysia Terengganu menahan tiga lelaki dan merampas 780 kilogram mercun serta bunga api bernilai kira-kira RM21,868 melibatkan lima kes sepanjang bulan Ramadan ini.

Pengarah Kastam negeri, Abdullah Zawawi Abd Latif berkata nilai cukai rampasan mercun dan bunga api pelbagai jenis berkenaan ialah sebanyak RM10,961.

“Kejayaan terbaru Kastam semalam berjaya merampas sebanyak 774 kilogram mercun dan bunga api berjaya disita dari sebuah premis perniagaan kosong di Kampung Besut, Kemaman kira-kira 10.20 malam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya rampasan itu dianggarkan bernilai RM21,672 bagaimanapun pemilik premis itu tidak dapat ditahan.

Beliau berkata pihaknya kini sedang mengesan pemilik premis berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 atas kesalahan menyimpan bahan-bahan larangan.

“Kita percaya mercun ini dibawa masuk dari negara jiran untuk dipasarkan di sekitar daerah Kemaman,” katanya.

Tiga lelaki yang ditahan berumur 20 hingga 50 tahun merupakan peniaga kecil-kecilan di beberapa bazar Ramadan di Kuala Terengganu.

Abdullah Zawawi berkata selain mercun dan bunga api, pihaknya juga merampas rokok yang tidak mendapat kelulusan Kastam.

“Kesemua nilai rampasan rokok yang dibuat pada 23 Ogos lalu di Kampung Bukit Diman, Ajil, Hulu Terengganu dan Jalan Lembah Sungai Buaya, Dungun yang kedua-duanya bernilai RM25,208 melibatkan pengelakkan cukai sebanyak RM116,646.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan aktiviti pengedaran, penjualan dan memiliki atau bermain mercun atau bunga api kerana ia merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Katanya jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barangan dan tidak lebih 20 kali nilai barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

– Bernama