‘Community Policing’ Kampung Cempaka1, Likas, satu kejayaan

LIKAS – Pasukan ‘Community Policing’ di Kampung Cempaka Satu, Likas telah menghasilkan kejayaan dengan menurunkan kadar jenayah tempatan.


Jalan masuk ke Kampung Cempaka satu Likas

Sebagai menyahut seruan kerajaan membantu usaha membenteras jenayah yang berlaku di kampungnya, seorang pesara kerajaan telah mengambil initiatif membentuk Pasukan ‘Community Policing’.

Lani Momin telah menubuhkan Pasukan ‘Community Policing’ Kampung Cempaka Satu Likas pada tahun 2009  ketika beliau baru sahaja lepas bersara.

Sehingga kini, menurut Lani, penubuhan pasukan itu telah berjaya membantu mengurangkan kadar jenayah di Likas dan boleh dijadikan sebagai contoh oleh kampung-kampung lain sekitar Kota Kinabalu.

Lani berkata, “ Pasukan itu ditubuhkan demi kesejahteraan masyarakat, dan minat masyarakat untuk menyertainya amat menggalakkan.”

“ Pada mulanya, pasukan ini hanya mempunyai 20 anggota tetapi sekarang ia telah meningkat kepada 35 orang,” kata beliau yang juga pengerusi pasukan itu.

Antara kes-kes jenayah yang sering berlaku sebelum pasukan  itu ditubuhkan adalah pecah rumah, pecah kereta, ragut dan lain-lain dengan majoriti daripada kes-kes ini melibatkan orang asing.

Hari ini, kadar jenayah di kawasan tersebut telah jauh berkurangan kerana pasukan itu sering melakukan rondaan di sekitar Likas bersama dengan pihak polis

Lani berkata, pada setiap malam,sejumlah 8 hingga 10 orang anggota bertugas akan membuat rondaan yang bermula pada pukul 12 tengah malam sehingga jam empat atau lima pagi.

“ Ia bergantung kepada keadaan, kalau ada masalah, anggota mungkin terpaksa bertugas lebih daripada masa sepatutnya.

“Polis sentiasa ada dan jika ada masalah, mereka biasanya akan sampai disini kurang daripada 10 minit jika dipanggil.

“Mereka sudah kenal dan biasa dengan pasukan ini.” ujarnya.

Pasukan ini menurut beliau lagi bukan sahaja bertugas untuk membanteras jenayah, tetapi juga bertujuan untuk kemasyarakatan.

Dalam setahun, mereka akan mengadakan gotong-royong sebanyak empat kali.

“Manakala dalam setiap dua  minggu, mereka akan mengadakan kerja-kerja pembersihan tanpa mengenakan sebarang bayaran.”

Katanya, ini memang bersesuaian sekali dengan tema ‘Community Policing’.

Bagi menampung perbelanjaan pasukan ini, Lani meminta setiap ketua keluarga yang seramai 100 orang di sana untuk menyumbang sebanyak RM5 sebulan.

Namun adakalanya, tidak semua yang mampu membayarnya kerana masalah kesempitan hidup.

“ Jika perbelanjaan ini tidak cukup, saya sendiri yang akan mengeluarkan wang. Bagi saya, ia adalah bertujuan untuk berbakti,” katanya tegas.

Katanya lagi, “ Bukan mudah untuk menjadi pemimpin. Seorang pemimpin perlukan kesabaran, sikap bertolak ansur dan sanggup berkorban. Tanpa semua ini, adalah sukar untuk berhadapan dengan masyarakat.”

“ Selagi terdaya, saya akan teruskan berbakti untuk kampung ini.

“Dan, ia tiada penghujungnya,” kata Lani sambil menjelaskan bahawa pihak polis seharusnya tidak ditakuti kerana mereka adalah rakan kepada masyarakat.

Selama pasukan itu ditubuhkan, Lani telah menerima beberapa sijil penghargaan daripada pihak polis kerana sumbangan beliau terhadap keamanan serta keselamatan di Likas.

Sebelum mengakhiri perbualan, Lani mengalu-alukan sumbangan pihak yang murah hati bagi membantu membina pondok-pondok kawalan. Ketika ini, mereka hanya menggunakan perhentian bas sebagai pusat kawalan.

Selain itu, beliau juga amat mengalu-alukan sumbangan bagi mereka membeli  ‘walkie-talkie’, pakaian seragam dan juga basikal yang akan digunakan semasa rondaan.

Beliau boleh dihubungi pada talian 019-5352000.

 

 

 

Gary Louis Supi