Kontraktor dituduh cuba bunuh anak sendiri

Kontraktor dituduh cuba bunuh anak sendiri

Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini kerana dituduh cuba membunuh anak perempuannya sendiri dalam kejadian di lebuh raya baru Bukit Besi di Dungun, Isnin lepas.

Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini kerana dituduh cuba membunuh anak perempuannya sendiri dalam kejadian di lebuh raya baru Bukit Besi di Dungun, Isnin lepas.

Shahli Harun, 42, dituduh cuba membunuh Puteri Intan Syazwani, 4 tahun, dengan menggunakan sebilah parang hingga menyebabkan kecederaan di leher anaknya itu.

Shahli, berasal dari Guar Jumaat, Gurun, Kedah, dituduh melakukan perbuatan itu antara 1 tengah hari dan 2 petang berhampiran pondok tol yang masih dalam pembinaan.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, dan jika sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin, Shahli yang tinggal di Kampung Bijangga, Dungun, pada mulanya kelihatan berdolak dalik dengan mengatakan dirinya tidak faham pertuduhan dan tidak waras.

Bagaimanapun setelah pertuduhan dibacakan sekali lagi, dia kemudian mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmud kemudian memohon kepada mahkamah agar tidak membenarkan Shahli diikat jamin memandangkan dia dan anaknya tinggal bersama dan dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada mangsa dan keluarga.

Tertuduh kemudian meminta mahkamah agar menghubungi kakaknya di Guar Jumaat bagi memaklumkan tentang penahanannya itu.

Hakim Zainal Abidin kemudian mengarah pihak pendakwaan agar berbuat demikian dan menetapkan 3 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

– Bernama