Tiga terbunuh dalam kemalangan berasingan di Perak

Tiga terbunuh dalam kemalangan berasingan di Perak

Tiga terbunuh dalam kemalangan berasingan membabitkan seorang pelajar dan dua pemandu lori di Perak semalam dan awal hari ini.

Tiga terbunuh dalam kemalangan berasingan membabitkan seorang pelajar dan dua pemandu lori di Perak semalam dan awal hari ini.

Ketua Polis Trafik Negeri, Supt Wan Abdullah Ishak berkata dalam kejadian awal hari ini seorang pelajar terbunuh selepas bertembung dengan sebuah motosikal yang ditunggang pelajar lain di Jalan Besar Felda Gunung Bersaut, Tanjung Malim.

Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah malam itu ialah Abdul Aziz Abdul Rahmat, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Bersaut, katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Abdullah berkata mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia sejam selepas dirawat di Hospital Slim River manakala seorang lagi pelajar Mohamad Dasuki, 16, cedera ringan dan dirawat di hospital sama.

Kejadian berlaku ketika mereka masing-masing menunggang motosikal di kawasan tanah rancangan itu tanpa memakai topi keledar dan bertembung antara satu sama lain.

Dalam satu kemalangan di Tapah, seorang pemandu treler terbunuh selepas bertembung dengan sebuah lori tanker di KM 62 Ipoh-Kuala Lumpur pada pukul 7 malam semalam.

Mangsa S.Balasundram, 43 berasal dari Kampung Muhibbah, Chenderiang, Tapah  meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tanker cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Tapah.

Dalam kejadian di sebuah kilang kuari di Kampung Gunung Pasir, Kampar pada pukul 6.45 petang pula, seorang pemandu lori terbunuh selepas lori yang dipandunya merempuh sebuah jengkaut.

Mangsa Mohd Azlan Shah Meor Yakob, 26, dari Kampung Changkat Lenggong, Gopeng meninggal dunia di tempat kejadian.

– Bernama