Suri rumah risau kegiatan pelacuran di Sabah

Suri rumah risau kegiatan pelacuran di Sabah

Kehadiran ramai wanita warganegara China di sekitar Kampung Air, Sinsuran dan Segama amat ketara sejak beberapa tahun yang lepas, dan ianya menimbulkan kerisauan terutamanya di kalangan suri rumah.

Oleh Gary Os

Kehadiran ramai wanita warganegara China di beberapa lokasi di sekitar ibunegeri seperti Kampung Air, Sinsuran dan Segama memang amat ketara sejak beberapa tahun yang lepas, dan ianya menimbulkan kerisauan terutamanya di kalangan surirumah.

Perkara ini banyak diluahkan oleh para suri rumah kepada ahli parlimen Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu, yang kemudiannya mengarahkan suatu tinjauan terperinci dilakukan di kawasan terbabit.

Ketua Biro Penasihat Perubatan Parti Tindakan Demokratik Sabah (DAP) Dr Felix Chong yang mengambil inisiatif tersebut menyatakan bahawa, perkara ini merupakan suatu masalah serius yang perlu diberi perhatian pihak berkuasa.

Antara masalah tersebut adalah keruntuhan rumahtangga dan risiko penyakit berjangkit yang menjadi kebimbangan utama para surirumah tersebut.

Dia menegaskan bahawa perkara ini sewajarnya dibendung kerana ia boleh menimbulkan ketidakharmonian dikalangan masyarakat.

Felix berkata “ Sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikan kegiatan ‘China Dolls’ ini daripada berlarutan. Apakah yang dilakukan oleh pihak berkuasa mengenai ini, adakah mereka pekak dan bisu?”

‘China Dolls’, iaitu gelaran yang diberi oleh penduduk tempatan terhadap mereka, tanpa segan silu menjalankan kegiatan pelacuran di kaki-kaki lima kedai dan lorong-lorong berdekatan.

Malahan ada diantara mereka yang secara terang-terangan menawarkan perkhidmatan kepada lelaki-lelaki yang lalu lalang disitu.

Tinjauan yang dilakukan oleh Felix turut mendapati mereka mula beroperasi seawal jam tujuh pagi dengan berdiri di ruang-ruang pejalan kaki, lorong-lorong belakang kedai dan di dalam hotel.

“ Mereka bekerja siang malam dan berumur dalam lingkungan 18-45 tahun. Mereka berada di Sabah dengan menggunakan pas lawatan sementara dan tanpa sebarang permit kerja,” kata Felix lagi.

Harga perkhidmatan yang ditawarkan pula adalah dalam lingkungan RM50–100 bergantung kepada usia pelacur tersebut.

Menurut Felix lagi bahawa, kebiasaannya mereka tidak mempunyai sijil daripada doctor perubatan yang mengesahkan mereka bebas daripada sebarang penyakit kelamin.

Kes-kes yang berlaku menunjukkan terdapat banyak lelaki telah menghidap penyakit kelamin yang diperolehi hasil daripada perhubungan jenis dengan wanita-wanita tersebut.

Penyakit ini kemudiannya menjangkiti para isteri dan kemungkinan yang paling ditakuti adalah terkena jangkitan penyakit AIDS, kata Felix lagi.

“ Mengapa tiada tindakan daripada pihak berkuasa terhadap mereka-mereka ini yang banyak berkeliaran di sini?” soal Hiew sambil mendakwa bahawa beliau telah dimaklumkan yang polis turut menerima wang daripada pelacur-pelacur ini supaya tidak menahan mereka.

Felix menggesa pihak berkuasa agar memeriksa aduan-aduan ini dan mengambil tindakan yang perlu demi memastikan ‘China Dolls’ tersebut tidak mengganggu institusi keluarga disini.

Perkara ini sebenarnya telah berlarutan sejak beberapa tahun yang lepas malahan ianya sering disiarkan di akhbar-akhbar tempatan di negeri ini. Namun, masalah ini masih tetap menghantui penduduk tempatan.

DAP banyak menerima aduan yang datangnya daripada para surirumah yang menyuarakan bantahan keras mereka terhadap kehadiran ‘China Dolls’. Mereka turut merungut mengenai masalah rumahtangga mereka yang menjadi kucar-kacir akibat daripada suami mereka yang melanggani pelacur-pelacur ini.

Dalam beberapa tinjauan yang dilakukan oleh Malaysiakini sebelum ini mendapati bahawa kegiatan mereka dilakukan pada siang hari dan secara dilakukan terang-terangan.

Secara diam, mereka dilihat berbisik kepada pelalu-lalang lelaki lalu menawarkan perkhidmatan mereka. Terdapat juga agen yang bertindak bagi pihak mereka bagi mendapatkan pelanggan.

Gary Louis Supi