Gangguan bekalan air di sekitar Wilayah Hulu Langat

Gangguan bekalan air di sekitar Wilayah Hulu Langat

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd ingin melaporkan bahawa Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau telah diaktifan di Wilayah Hulu Langat pada jam 9.30 pagi hari ini berikutan kejadian paip pecah di dua (2) lokasi yang berlainan.

 

Oleh Syabas

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin melaporkan bahawa Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau telah diaktifan di SYABAS Wilayah Hulu Langat pada jam 9.30 pagi hari ini (21 Ogos 2011) berikutan kejadian paip dari jenis MS (Mild Steel) berukuran 600mm di lokasi berhampiran kolam sedut Bandar Tun Hussein Onn, telah pecah di dua (2) lokasi yang berlainan.

Untuk makluman, pihak SYABAS telah menerima aduan berhubung paip pecah ini semalam (20 Ogos 2011) dan kerja-kerja pembaikan telah mula pada hari yang sama.

Walau bagaimanapun, kerja-kerja baikpulih telah mengambil masa yang agak lama disebabkan lokasi paip pecah yang berada di kawasan cerun berbatu.

Selain itu, kerja-kerja korekan terpaksa dilakukan secara manual kerana mesin pengorek tidak dapat naik ke lokasi kejadian disebabkan tiada laluan ke lokasi.

Walau bagaimanapun, setelah kerja-kerja baikpulih selesai, jajaran paip yang sama telah pecah semula di lokasi yang berlainan. Setakat laporan ini dikeluarkan, kerja-kerja membaikpulih paip pecah masih sedang dilaksanakan oleh pihak SYABAS menerusi kontraktor yang telah dilantik.

Berikutan kejadian tersebut, dianggarkan kira-kira 13,000 akaun terlibat dan tindakan mengaktifkan ERP Kod Hijau adalah untuk memastikan agar kawasan- kawasan terlibat mendapat bantuan dan usaha mengatasi masalah bekalan air kepada pengguna ini dapat dilakukan dengan segera. Pihak SYABAS juga telah menyediakan sebanyak sembilan (9) buah lori tangki dalam keadaan tunggu sedia sekiranya diperlukan.

Antara kawasan terlibat yang mengalami gangguan air tidak berjadual ini adalah seperti berikut:

Keseluruhan Bandar Tun Hussein Onn
Taman Cheras Perdana
Taman Puncak Perdana
Taman Desa Wangsa
Taman Megah 2
Taman Sri Minang

Para pengguna di kawasan terlibat dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh pembaikan paip tersebut. Mereka yang memerlukan bantuan bekalan air menerusi lori tangki ataupun ingin mendapat maklumat lanjut berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini disaran agar menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol, 1-800-88-5252.

Sekian, harap maklum.

—–

Untuk maklumat lanjut sila hubungi:

Abdul Halem Hj Mat Som
Pengarah Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Korporat
Tel: 03-2088 5400
Faks: 03-2088 5288
HP: 012-2771527
Email: [email protected]