Motosikal bertembung, dua remaja maut

Dua remaja maut setelah motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri, dalam kemalangan di Kampung Kedai Buluh, Jalan Kampung Surau Haji Yaacob, Titian Baru, Marang malam tadi.

Mohd Amirul Azlan Shafie, 21 maut di tempat kejadian, manakala Adam Safuan Jaafar, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Sultan Mansor, Kedai Buloh, disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Ahmad Mazlan Yahaya berkata kejadian kira-kira 7.00 malam itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang Mohd Amirul Azlan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh motorsikal Adam Safuan dari arah bertentangan.

Akibat pertembungan itu kedua-dua mangsa yang masing-masing berasal dari Kampung Surau Panjang dan Kampung Surau Haji Daud, cedera parah di kepala dan anggota badan, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

“Kita percaya kedua-dua mangsa menunggang motorsikal dalam keadaan laju dan akibat rempuhan yang kuat itu menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan parah,” katanya.

Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah  untuk dibedah siasat.

– Bernama