Tindakan bersama agensi penguatkuasaan dipertingkatkan tangani isu pembakaran haram

Penguatkuasaan bersama melibatkan agensi dan jabatan berkaitan akan dipertingkatkan bagi menangani isu pembakaran terbuka dan tapak pembuangan sampah haram di sekitar Klang sejak sebulan lalu.

Pemangku Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ikhsan Mukri berkata antara tindakan yang dilakukan ialah menggali parit pada laluan masuk bagi menghalang pihak tidak bertanggungjawab memasuki kawasan berkenaan.

Menurutnya, selain daripada itu kawasan lapang itu juga akan diawasi secara bersama oleh penguatkuasa MPK dan Pejabat Tanah Dan Daerah Klang bagi mengenalpasti pihak yang menjalankan pembuangan sampah secara haram di situ.

“Majlis prihatin dengan aduan penduduk dan lawatan bersama juga telah diadakan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani isu ini.

“Malah kerjasama daripada agensi terlibat termasuk PTD juga membolehkan masalah ini dapat ditangani secara telus daan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu tapak pelupusan haram di Sementa yang mengakibatkan pencemaran udara, habuk dan kebersihan setempat terjejas ekoran tindakan tidak bertanggungjawab pihak terlibat, semalam.

Selain daripada itu, kawasan di situ juga telah dijadikan depoh simpanan kenderaan berat dan notis juga akan diberikan kepada pemilik dalam masa terdekat berikutan tidak mempunyai kebenaran daripada majlis.

Ikhsan berkata, lokasi akan dipantau dan tindakan bersepadu akan disegerakan bagi menghalang sebarang aktiviti pelupusan sampah haram yang lebih serius dan pembakaran terbuka kelak.