Pos Malaysia jamin kad raya sampai

Pos Malaysia memberi jaminan bahawa semua kad ucapan raya yang diposkan selewat-lewatnya pada 24 Ogos akan sampai kepada penerimanya sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada 30 Ogos ini.

Ketua Pusat Mel Nasional, Othman Abdullah berkata Pos Malaysia mengambil kira-kira 50 pekerja sementara di seluruh negara bagi melicinkan pemprosesan penghantaran kad raya ke semua destinasi selain membekukan cuti pekerja bagi
memastikan penghantaran kad ucapan dilakukan mengikut jadual.

Bagi mereka yang menghantar kad ucapan raya selepas tarikh berkenaan bagaimanapun tidak perlu bimbang kerana Pos Malaysia tetap akan memastikan ia sampai kepada penerima, katanya ketika memberikan taklimat media mengenai pemprosesan kad raya di Pusat Mel Nasional di sini hari ini.

Berdasarkan rekod tahun lepas, daripada 5.11 juta keping kad ucapan raya yang dihantar, Lembah Klang mencatatkan jumlah penghantaran tertinggi iaitu pada kadar 57 peratus, katanya.

Beliau berkata Pos Malaysia menyasarkan peningkatan dua peratus bilanganĀ  penghantaran kad raya pada tahun ini terutamanya dengan pengenalan kempen satu kadar rata bagi kad ucapan perayaan sejak 1 Ogos lalu.

Kadar rata serendah 50 sen di kenakan bagi setiap penghantaran kad ucapanĀ  perayaan yang tidak melebihi berat 50 gram bagi tempoh sehingga 31 Januari tahun depan, katanya.

Kadar istimewa itu dijangka akan turut menggalakkan penghantaran kad perayaan Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina yang bakal disambut nanti, katanya.

– Bernama