SPAD tidak beri permit bas tambahan, pengusaha bas kecewa

SPAD tidak beri permit bas tambahan, pengusaha bas kecewa

Lebih 30 pengusaha bas persiaran di kawasan utara kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang tidak mengeluarkan permit sementara untuk mereka beroperasi sebagai bas tambahan pada musim perayaan.

Lebih 30 pengusaha bas persiaran di kawasan utara kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang tidak mengeluarkan permit sementara untuk mereka beroperasi sebagai bas tambahan pada musim perayaan.

Lebih mengecewakan SPAD mengeluarkan permit Lesen Pengangkutan Sementara (LPS) itu kepada pemilik bas sekolah dan kilang untuk menjalankan perkhidmatan tersebut.

Pengarah Urusan Jafila Sdn Bhd, Jafri Don yang mewakili pengusaha bas, berkata terdapat lebih 250 bas persiaran di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang boleh beroperasi, tetapi tidak diberi permit LPS bagi membawa penumpang pulang beraya hujung bulan ini.

Beliau berkata SPAD sepatutnya bersikap adil dengan memberi permit LPS kepada pengusaha bas persiaran, sama seperti bas kilang dan sekolah yang dibenar beroperasi sebagai bas tambahan setiap kali musim perayaan.

“Saya dan rakan hanya mendapat tahu permit LPS telah dikeluarkan sejak 11 Ogos lalu namun apabila ditanya kepada SPAD saya dimaklumkan hanya bas sekolah dan kilang sahaja dibenarkan membuat permohanan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui bersama sekumpulan pengusaha bas persiaran mengadakan bantahan terhadap tindakan SPAD itu di Padang Awam Taman Ria Jaya di sini, yang terletak di hadapan pejabat SPAD Wilayah Utara.

Katanya perkara yang sama juga berlaku tahun lepas, sedangkan bas persiaran jauh lebih baik serta selesa berbanding bas kilang dan bas sekolah.

Jafri berkata pengusaha bas persiaran terbabit hanya mahu beroperasi seminggu sebelum dan seminggu selepas sambutan perayaan baik Aidilfitri mahupun perayaan lain.

Wakil TMJ Sdn Bhd Ismail Mohamad berkata mereka mahu SPAD bersifat terbuka dan adil kerana sejak penubuhannya tahun lepas menggantikan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan, bas persiaran seolah dipinggirkan.

Malah katanya, pengusaha bas persiaran tidak dijemput menghadiri majlis dialog bersama SPAD yang diadakan di sini baru-baru ini.

“Saya dan rakan semua juga tidak tahu kedudukan bas persiaran berada di bawah jabatan mana. Ada yang kata bawah SPAD dan ada kata Kementerian Pelancongan.

“Bila pergi ke SPAD mereka kata bawah Kementerian Pelancongan, pergi ke kementerian diberitahu di bawah SPAD, jadi kami buntu yang mana satu betul.

Yang menanggung akibatnya adalah semua pengusaha bas persiaran, kami juga ada pemandu yang perlu dibayar gaji setiap bulan, jika tidak boleh beroperasi macam mana nak bayar gaji mereka,” katanya.

Sementara itu jurucakap ibu pejabat SPAD yang dihubungi, berkata dakwaan bahawa pihaknya hanya mengeluarkan permit LPS kepada pengusaha bas kilang dan sekolah adalah tidak benar.

“Semua jenis bas boleh mohon dengan syarat mereka perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan SPAD seperti bas lulus pemeriksan Puspakom dan sebagainya. Malah tarikh tutup permohonannya juga telah ditunda hingga 23 Ogos depan.

“Pengusaha bas persiaran wajar diberi permit LPS bagi sepanjang musim perayaan bukan sahaja pada Aidifitri malah perayaan lain,” katanya.

Yang Dipertua Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Kedah Shahanim Mohd Yusof yang ditemui semasa melawat pengusaha bas terbabit berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan secara rasmi daripada SPAD dalam tempoh terdekat.

“Di samping itu, kita akan mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat bagi mengatasi masalah yang timbul. Pada masa sama, kita berharap SPAD bertindak adil dan bersama-sama membantu kerajaan meningkatkan peluang bumiputera dalam bidang kenderaan perdagangan,” katanya.

– Bernama