TNB perjelaskan tiada kenaikan  bil elektrik sejak Jun lalu

TNB perjelaskan tiada kenaikan bil elektrik sejak Jun lalu

Pengurus Besar Kanan Operasi Wilayah II, Datuk Roslan Ab Rahman berkata, dakwaan sesetengah pihak bahawa bil elektrik meningkat adalah tidak benar sebaliknya ianya berlaku kerana pengguna kurang arif tentang penggunaan bil eletrik mereka.

Tenaga Nasional Berhad (TNB)  memberi penjelasan bahawa pihaknya tidak pernah menaikkan bil elektrik pengguna secara mendadak sejak pertukaran meter digital Jun lalu.

Pengurus Besar Kanan Operasi Wilayah II, Datuk Roslan Ab Rahman berkata, dakwaan sesetengah pihak bahawa bil elektrik meningkat adalah tidak benar sebaliknya ianya berlaku kerana pengguna kurang arif tentang penggunaan bil eletrik mereka.

Menurutnya, TNB mengesyorkan pengguna supaya peka dengan sebarang notis atau surat pemberitahuan yang dihantar bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

“TNB juga menggesa kepada mana-mana pengguna yang mengalami masalah kenaikan bil secara mendadak, untuk bertemu sendiri dengan kami.

“Ini penting untuk memudahkan perbincangan dan mencari jalan penyelesaian serta pengguna boleh melihat sendiri rekod penggunaan eletrik di kediaman mereka,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.

Sebelum itu, TNB telah menerima memorandum dari Gerakan yang diwakili oleh Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam, Wilson Lau Hoi berhubung aduan isu bil eletrik.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi dan Air, Badarudin Mahyudin.

Dalam perbincangan tersebut, TNB telah bersetuju untuk mengadakan satu pelan komunikasi yang berkesan untuk memaklumkan kepada pengguna rasional penukaran meter dari mekanikal kepada digital.

Roslan berkata, tindakan TNB menukar meter adalah mengikut keperluan termasuk sekiranya meter tersebut telah lama digunakan atau rosak.

“TNB tidak akan menukar meter sesuka hati, sebaliknya terdapat prosedur yang diguna pakai oleh kami dalam penukaran sebegini,” katanya.

Sementara itu, Wilson pula berkata, ramai penduduk terutama di sekitar Lembah Klang mengadu menerima bil eletrik yang tidak munasabah dari TNB setelah pemasangan meter digital.

Menurutnya, TNB seharusnya menerangkan kepada pengguna kaedah penggantian meter bagi memudahkan pengguna faham prosedur yang digunakan TNB.

“Kita juga menggesa TNB supaya berusaha memanggil pengguna ketika penukaran meter dilakukan bagi mengelak sebarang kekeliruan.

“TNB juga perlu berusaha mengubah persepsi negatif orang awam tentang isu bil eletrik yang tinggi,” katanya.