JKM Selangor lancar operasi selamatkan pengemis

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor melancarkan operasi bersepadu sempena bulan Ramadan khusus untuk mencari kanak-kanak, pengemis dan orang tidak mampu di sini, semalam.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 3 petang itu, 11 orang termasuk kanak-kanak dipercayai pengemis antara individu yang ditahan melibatkan beberapa agensi lain termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Imigresen dan polis.

Pengarah JKM Negeri, Nik Omar Nik Ab Rahman berkata hasil operasi itu, pihaknya berjaya menahan tiga lelaki dewasa, dua wanita dan seorang kanak-kanak merupakan pemaustatin tetap manakala warganegara asing pula dua lelaki dewasa termasuk dua wanita dan seorang kanak-kanak.

Menurutnya kesemua yang ditahan akan dibawa ke institut JKM untuk pemeriksaaan lanjut termasuk bagi pemeriksaan kesihatan bagi kanak-kanak.

“Kita juga akan mengesan ibubapa kanak-kanak tersebut dan sekiranya anak yatim piatu, kita akan menempatkan mereka sementara di rumah kanak-kanak JKM,” ujarnya.

Ditanya mengenai lokasi sasaran utama, Nik Omar berkata antara lokasi-lokasi yang diberi keutamaan adalah kawasan tumpuan pengemis dan peminta sedekah dan derma iaitu di sekitar seksyen 9, seksyen 7 dan seksyen 15, Shah Alam.

Menurutnya, operasi kali ini dilakukan khusus mencari dan menyelamat pengemis atau peminta derma terutama bagi kanak-kanak di mana kebanyakkan mereka akan turun ke beberapa lokasi tertentu di sekitar Lembah Klang.

“Operasi ini dijalankan secara berkala bagi memastikan tiada golongan yang mengambil kesempatan dalam bulan Ramadan ini secara tidak langsung membantu golongan yang memerlukan,” katanya.