NUBE teruskan piket terhadap pengurusan CIMB

KLANG – Piket pertama hari ini bermula pada pukul 9.45 pagi di hadapan bank CIMB Jalan Dato Hamzah, Klang

Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Kebangsaan (NUBE)  meneruskan piket susulan Siri Jelajah Piket di Selangor di perkarangan bank CIMB.

Piket pertama hari ini bermula pada pukul 9.45 pagi di hadapan bank CIMB Jalan Dato Hamzah, Klang dan telah dihadiri lebih kurang 200 ahli NUBE.

Ahli-ahli NUBE telah mengerumuni perkarangan CIMB dengan sepanduk dan peralatan muzik.

Menurut Setiausaha NUBE J.Solomon, tujuan piket siri jelajah ini adalah untuk menuntut keadilan untuk pekerja bank yang masih belum mendapat penyelesaian yang adil daripada CIMB.

“Piket akan diteruskan selagi tuntutan-tuntutan dan hak pekerja tidak diberi keutamaan oleh pengurusan CIMB,” kata beliau.

Bantahan NUBE antaranya mengenai dakwaan ketidakadilan dalam penilaian prestasi bagi pembayaran bonus kakitangan bank dan isu pemecatan kakitangan yang mempersoal penggunaan dana pekerja oleh pihak pengurusan.Pekerja-pekerja ini telah dinafikan hak dan jaminan pekerja kontrak tetap.

Sehabis berpiket di Klang, ahli-ahli NUBE telah meneruskan perjalanan ke Seksyen 52 Petaling Jaya bagi melangsungkan piket kedua dan lokasi ketiga hari ini ialah di Jalan Tun Aziz Lim Tan Kajang.

CJMY masih lagi menunggu komen daripada pihak komunikasi korporat CIMB, yang telah dihubungi pada pagi tadi.

Rajeswari