The Kitchen Musical pertama kali disiarkan di Malaysia

Jika ditanya apakah yang anda hargai? Pasti anda tidak menolak jika jawapannya santapan yang enak dan muzik yang menghiburkan.

Penonton TV Malaysia pasti akan menemui kedua-dua elemen ini dalam rancangan The Kitchen Musical yang akan ditayangkan buat pertama kalinya di Malaysia melalui Saluran Ceria Anda, ntv7.

Stesen televisyen swasta percuma ini adalah yang pertama menayangkan drama siri muzikal ini bermula Oktober dan bakal menjadi ikutan oleh 17 lagi negara lain.

“Kami sentiasa mencari penerbitan baru dan kreatif di ntv7”, menurut Pengurus besar kumpulan ntv7 dan 8TV, Airin Zainul.

Tambahnya, kami sukakan idea siri televisyen muzikal yang mengetengahkan minat mendalam orang Asia pada makanan.

Ia sebuah rancangan yang menggabungkan elemen drama, cinta, komedi, muzik dan masakan kepada penonton dan pasti menjadi rancangan yang diminati ramai.” ujar beliau lagi.

Drama siri muzikal yang dijangkakan menjadi fenomena baru ini dihasilkan sebuah produksi yang bertapak di Singapura iaitu The Group Entertainment.

Uniknya, drama siri muzikal ini menampilkan beberapa keistimewaan ciri-ciri Asia sama ada di hadapan mahupun di sebalik tabir penggambaran.

Antara yang mencuri tumpuan dalam drama bersiri muzikal 13 episod ini ialah penampilan pelakon kacukan Melayu-Inggeris yang berbakat, Stephen Rahman Hughes yang digandingkan bersama bintang-bintang Filipina yang menawan, Christian Bautista dan Karylle Tatlonghari.

Drama muzikal yang pasti menyelerakan ini sebenarnya adalah hasil buah fikiran anak kelahiran Pulau Pinang iaitu Naib Presiden Eksekutif dan Pengarah Kreatif The Entertaiment Group sendiri yang lebih mudah mesra dengan panggilan Cheek.

Menurut Cheek, “Siri TV Muzikal yang berkisar mengenai minat mendalam warga Asia pada makanan tidak pernah dilakukan sebelum ini. Kami ingin mencipta sesuatu yang segar dan asli untuk penonton global sambil tetap mengekalkan ciri-ciri tempatan”.

Stephen Rahman Hughes tampil dalam ekstravaganza muzikal TV

Picture by Starmometer.com

Stephen yang baru sahaja selesai dengan persembahan muzikal di serata Eropah bersama kumpulan vokal U.K., Teatro, dan menjadi teraju utama dalam filem Hikayat Merong Mahawangsa, turut membintangi siri ini dengan memegang peranan sebagai Ketua Chef yang bersifat diktator.

Ini merupakan penglibatan pertama pelakon West End itu dalam siri televisyen Asia. Yang pasti, Stephen merupakan pilihan tepat dalam membintangi drama siri seumpama ini yang menyerlahkan bakatnya dalam nyanyian, lakonan dan tarian.

Ditanya mengenai peranannya nanti, Stephen berkata, “Saya berbesar hati dapat membawa nama Malaysia sebagai teraju utama dalam penerbitan sehebat ini.

Bakal ditonton oleh jutaan penonton dari serata Asia, drama TV muzikal yang pertama seumpamanya ini akan menjadi satu lagi anjakan baru dalam karier saya. Saya akan buat yang terbaik untuk drama The Kitchen Musical untuk peminat-peminat saya dari Malaysia mahupun menambat ramai lagi penonton di luar sana.”

Berganding sama dengan Stephen ialah seorang pelakon wanita Filipina yang menawan, Karylle Tatlonghari yang sukakan watak dipegang Stephen tetapi dalam masa yang sama turut membencinya.

Karylle memegang peranan gadis berada yang juga graduan seolah memasak masyhur, Cordon Bleu, yang cuba menempatkan dirinya di dalam restoran yang penuh saingan.

Ini adalah penampilan pertama buat pelakon, penyanyi dan penulis lirik yang telah memenangi beberapa anugerah ini untuk produksi antarabangsa

Drama The Kitchen Musical ini dijangka menyerlahkan lagi bakat vokal, seiring rupa paras dan lakonan hebat penyanyi sensasi Filipina iaitu Christian Bautista.

Penyanyi lagu balada yang ramai peminatnya di Asia ini bakal menggegarkan kaca televisyen antarabangsa dengan wataknya sebagai sous chef.

Penerbitan TV Muzikal yang hebat ini menggunakan khidmat tenaga kerja yang bukan calang-calang iaitu pereka koreograf Australia yang terkenal dan juri “Australia’s So You Think You Can Dance” iaitu Jason Coleman, dan pengarah muzik Filipina yang popular, Gerard Salonga.

Jurusolek artis antarabangsa, Massimiliano Della Maggesa, atau lebih dikenali sebagai “Max the Joker”, yang sebelum ini pernah bekerja dengan pereka terkenal seperti Alexandra McQueen, Donna Karan dan Chloé, juga merupakan sebahagian daripada krew yang kreatif dan dinamik ini.

Kesemua pelakon drama muzikal ini akan ditempatkan di Singapura dalam tempoh tiga bulan selama penggambaran dijalankan seiring dengan sesi latihan mereka yang bermula Jun, sebagai persediaan membintangi drama ini.

Selari dengan objektif syarikat produksi Group Entertainment untuk menghasilkan rancangan berkualiti tinggi, francais yang bernilai jutaan dollar ini dihasilkan dalam kualiti definisi tinggi dengan kamera khas untuk setiap penggambaran makanan untuk mencantikkan lagi mutu hasilnya.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.ntv7.com.my atau www.tonton.com.my. Atau ikutilah perkembangan terbaru melalui Facebook dan Twitter ntv7.