MAIS bukti keprihatinan dalam usaha membantu pengidap HIV

MAIS bukti keprihatinan dalam usaha membantu pengidap HIV

Majlis AIDS Malaysia dan Majlis Agama Islam Selangor telah menjalin kerjasama erat dalam menangani isu-isu sosial, kebajikan dan kemasyarakatan yang berkaitan rapat dengan HIV / AIDS terutamanya di sekitar kawasan Lembah Kelang & Selangor, kata Presiden Majlis AIDS Malaysia, Mohd Zaman Khan.

Oleh Majlis AIDS Malaysia

Majlis AIDS Malaysia (MAM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menjalin kerjasama erat dalam menangani isu-isu sosial, kebajikan dan kemasyarakatan yang berkaitan rapat dengan HIV / AIDS terutamanya di sekitar kawasan Lembah Kelang & Selangor, kata Presiden Majlis AIDS Malaysia, Mohd Zaman Khan.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) merupakan antara majlis agama yang tampil ke hadapan dalam membantu, khususnya Orang yang Hidup dengan HIV dengan membiayai bantuan rumah perlindungan melalui wang kutipan zakat.

Menurut Mohd Zaman, objektif utama jaringan kerja antara MAM dan MAIS adalah untuk menangani permasalahan yang dihadapi di sekitar Lembah Kelang dan Selangor dengan memberi bantuan kewangan dan sokongan dalam membantu masyarakat Malaysia yang hidup dengan HIV.

Disamping itu, MAM juga pernah diberi peluang oleh MAIS untuk melatih pegawai-pegawai agama di sekitar  negeri Selangor, terutamanya kepada pegawai-pegawai JAIS dalam mengenal cabaran dan isu-isu yang dihadapi oleh orang yang hidup dengan HIV/AIDS dan komuniti lain yang turut terjejas serta terdedah dengan HIV/AIDS.

Antara inisiatif-inisiatif bersama yang pernah dijalankan, termasuklah majlis, kempen media dan program kerohanian yang melibatkan program *temu seru *untuk komuniti terpinggir.

Pihak MAIS juga melakukan aktiviti-aktiviti turun padang bersama komuniti, termasuk golongan *mak nyah* dengan memberi informasi dalam penjagaan dan rawatan serta pendekatan agama agar mereka dapat hidup seperti manusia biasa.

Menurut beliau lagi, MAM dan MAIS juga memperkukuhkan kerjasama dalam mempertingkatkan fungsi MAM dalam program sokong bantu kepada mereka yang hidup dengan melalui bahagian Baitulmal dan Ar-Riqab.

Sebilangan besar orang yang hidup dengan HIV tidak berani tampil untuk mendapatkan rawatan yang sedia ada kerana bimbang akan prejudis masyarakat.

Hasil kerjasama erat ini dilihat melalui beberapa program yang efektif telah dianjurkan, antaranya program yang terbesar ialah Hari Memperingati AIDS Sedunia (IAMD). Hari Memperingati AIDS Sedunia ini telah dilangsungkan pada 13 Mei 2011, lalu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hasil kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Malahan, Mohd Zaman turut merayu kepada jabatan-jabatan agama yang lain semoga mencontohi MAIS dalam membantu Orang yang Hidup dengan HIV di Malaysia.

Keprihatinan MAIS terbukti lagi dengan tertubuhnya dua buah Rumah Perlindungan Orang yang hidup dengan HIV, termasuk Rumah Istana Budi di Kuang, Selangor dan Rumah Darul Ukhwah di Petaling Jaya, Selangor.

Kedua-duanya yang menempatkan seramai 50 orang ini dibiayai sepenuhnya oleh MAIS dan telah menelan belanja sebanyak RM750 ribu setahun.

Pihak MAIS juga telah merancang satu projek komuniti yang besar yang dikenali sebagai Projek Baitul Islah, untuk menubuhkan rumah perlindungan HIV yang boleh menetapkan lebih ramai lagi komuniti terpinggir.

Kos Projek Baitul Islah, yang terletak di kawasan pendalaman Serendah, Selangor ini menelan belanja sebanyak RM5 juta masih dalam pembinaan dan akan dijangka siap pada pertengahan 2013.

Ini jelas menunjukkan MAIS begitu mengambil berat tentang isu-isu kesihatan dan kebajikan berkaitan dengan HIV/AIDS, terutamanya dikalangan masyarakat yang beragama Islam.