Kastam dan PDRM temui semula 25 kereta mewah yang diseludup ke Cyprus

Hasil kerjasama antara Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan  Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menemui semula 25 buah kereta mewah curi bernilai RM2 juta yang  hendak diseludup ke Cyprus.

Pengarah Kastam Selangor Datuk Azis Yacub berkata kesemua kereta itu diseludup di dalam lima kontena dengan borang ikrar kastam kononnya membawa perabot untuk dihantar ke negara terbabit dan berlepas dari negara ini pada 25 Jun lepas.

Beliau berkata Kastam bersama syarikat perkapalan mula mengesan kapal yang membawa kesemua kontena terbabit selepas polis pada 30 Jun lepas menyerbu dan menemui sebuah gudang yang  menempatkan 98 buah kereta curi di Kampung Black Water di Jalan Klang-Banting dekat sini.

“Serbuan polis di gudang berkenaan menemui borang ikrar kastam yang menunjukkan lima kontena yang didakwa mengandungi perabot telah dihantar ke Cyprus pada 25 Jun. Hasil maklumat berkenaan kita memulakan gerakan mengesan kapal yang membawa kontena terbabit.

“Beberapa hari kemudian pihak kastam telah mengesan kapal itu yang berdaftar di Malaysia yang membawa kontena berkenaan berada di Pelabuhan Haifa, Israel dan mengarahkan supaya semua kontena itu dibawa pulang ke Malaysia,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Azis berkata sebaik tiba di Pelabuhan Barat di sini pada 27 Julai lepas, kelima-lima kontena itu telah melalui mesin pengimbas yang menunjukkan imej barangan dalam kontena terbabit terdapat unit kereta.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut dilakukan pada 4 Ogos bersama pihak polis dan ejen penghantaran mengesahkan setiap kontena terbabit mengandungi lima buah kereta model Honda City tanpa tayar yang tergantung dan diikat rapi.

Azis berkata sehubungan itu pihak kastam telah menahan seorang suspek lelaki berumur 35 tahun dipercayai terbabit dengan kes itu.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1980 iaitu membuat ikrar tidak benar ke atas dagangan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun
atau kedua-duanya.

Ditanya mengapa kesemua kontena terbabit tidak melalui mesin pengimbas ketika dibawa keluar dari negara ini, Azis berkata imbasan terhadap kontena dagangan dilakukan secara rambang dan bergantung kepada maklumat yang
diperoleh.

Katanya, setiap hari antara 4,500 dan 5,000 kontena dieksport manakala sebanyak 10,000 kontena barangan diikrar sebagai perabot dieksport dalam tempoh sebulan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Md Yusuf berkata semakan ke atas 25 buah kereta yang ditemui itu mendapati kesemua kereta berkenaan dilaporkan hilang pada Jun lepas di sekitar Selangor (20 unit), Kuala Lumpur (tiga unit), Negeri Sembilan (satu unit) dan Melaka (1 unit).

Beliau berkata hasil penemuan itu telah menyelesaikan kes 123 buah kereta pelbagai jenis yang dilaporkan hilang.

– Bernama