Penjara siasat dakwaan pencabulan hak asasi banduan

Pengarah Penjara Pengkalan Chepa di sini Husin Johari berkata siasatan sedang dijalankan mengenai dakwaan kononnya
berlaku pencabulan hak asasi membabitkan banduan di blok kuarantin penjara itu.

Beliau berkata pihaknya telah menerima laporan daripada ibu pejabat Jabatan Penjara mengenai dakwaan oleh seorang bekas banduan yang ditahan di blok itu.

“Buat masa ini saya tak dapat nak komen lanjut kerana sedang menjalankan siasatan dalaman,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, bekas banduan, Ahmad Syauqey Abdul Ghani, 36, dari Wakaf Aik, Bachok, mendakwa berlaku beberapa pencabulan hak asasi terhadap beliau dan banduan lain di blok kuarantin penjara itu, antaranya keadaan di situ
menghadapi kesesakan melampau.

Ahmad Syauqey, yang merupakan aktivis sosial, ditahan akibat kegagalan membayar wang jaminan setelah melakukan kesalahan menghalang tugas penjawat awam dan berkelakuan tidak senonoh di hadapan Balai Polis Bachok.

Dia ditahan di Penjara Pengkalan Chepa pada 23 Jun dan dibebaskan 5 Julai lepas setelah wang jaminan dibayar di Mahkamah Majistret Bachok.

Husin berkata Jabatan Penjara memandang serius dakwaan Ahmad Syauqey itu kerana ia mencalar imej jabatan.

Ahmad Syauqey ketika dihubungi berkata beliau membuat laporan itu mewakili 113 rakan banduan yang lain di blok kuarantin penjara itu yang tidak tahan diperlakukan sedemikian.

- Bernama