Pendatang asing boleh daftar percuma di Jabatan Imigresen Melaka

Pendatang asing boleh daftar percuma di Jabatan Imigresen Melaka

Sehingga hari ini, hanya 8,730 orang daripada anggaran 100,000 pendatang asing tanpa izin yang bekerja di Melaka tampil mendaftar dengan Jabatan Imigresen sejak 1 Ogos lepas.

Sehingga hari ini, hanya 8,730 orang daripada anggaran 100,000 pendatang asing tanpa izin yang bekerja di Melaka tampil mendaftar dengan Jabatan Imigresen sejak 1 Ogos lepas.

Pemangku Pengarah Jabatan Imigresen Melaka Ahmad Faiz Abdullah berkata sambutan kurang memberangsangkan itu mungkin kerana mereka takut ditangkap atau maklumat yang mereka peroleh tidak tepat.

Ahmad Faiz berkata tiada bayaran dikenakan kepada pendatang yang datang sendiri untuk membuat pendaftaran di Jabatan Imigresen Melaka di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Ayer Keroh.

Mereka juga boleh mendaftar dengan syarikat pengurus yang dilantik untuk mengendalikan program pendaftaran itu tetapi dikenakan bayaran RM35 seorang, katanya pada sidang akhbar mengenai Program Pendaftaran Biometrik Untuk Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P di pejabatnya, hari ini.

Katanya terdapat 62 buah syarikat pengurus di Melaka tetapi hanya 41 syarikat beroperasi.

Ahmad Faiz berkata kebanyakan PATI di Melaka bekerja dalam sektor pertanian dan pembinaan.

Pejabat Imigresen Melaka mendapat sambutan daripada pendatang yang datang dari Johor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan kerana kaunter di sini tidak sibuk dan mengambil masa hanya dua minit bagi setiap seorang.

Proses pemutihan bagi pekerja asing tidak sah akan berakhir pada Ahad ini. Maklumat lanjut mengenai program itu boleh diperoleh dengan menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Imigresen Melaka di talian 06-2322304.

– Bernama