‘Baju Raya’ tiruan jenama terkenal bernilai RM200,000 dirampas

Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang
merampas pakaian tiruan pelbagai jenama terkenal bernilai RM200,000 dalam serbuan di sebuah premis di Bukit Mertajam semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, M Guna Selan berkata dalam operasi pada pukul 1.30 petang itu, pihaknya merampas lebih 9,668 helai pakaian tiruan jenama terkenal seperti Adidas, Nike, Polo dan Levis.

Katanya serbuan itu dilakukan sepasukan 10 penguatkuasa KPDNKK negeri selepas melakukan risikan selama seminggu ke atas sebuah premis dua tingkat yang dijadikan sebagai stor penyimpanan barangan tiruan berkenaan.

“Ketika serbuan, dipercayai enam pekerja premis berkenaan sedang leka memunggah pakaian tiruan itu dan tidak menyedari kehadiran penguatkuasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati premis itu telah beroperasi lebih setahun dan pihaknya percaya pakaian berkenaan dibawa masuk daripada luar negara untuk diedarkan di sekitar kawasan utara tanah air sempena musim perayaan.

Guna Selan berkata seorang wanita berusia lingkungan 23 tahun ditahan untuk membantu siasatan manakala lima lelaki lagi dibebaskan setelah memberi keterangan.

Kes itu disiasat dibawah Akta Perihal Dagangan 1972 jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 bagi syarikat dan RM100,000 atau tiga tahun penjara ataupun kedua-duanya untuk orang perseorangan.

Katanya serbuan itu merupakan rampasan pertama KPDNKK Pulau Pinang melibatkan pakaian tiruan sempena bulan ramadan dan ketika serbuan dipercayai pengarah syarikat berkenaan berada di luar negara.

Dalam kes berasingan, penguatkuasa KPDNKK juga berjaya merampas sebanyak 45,510 DVD cetak rompak pelbagai tajuk bernilai RM281,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Paya, Bukit Mertajam.

Serbuan bersama Kastam Di Raja Malaysia (KDRM) pada kira-kira pukul 2 petang itu turut merampas tiga unit mesin penyalin.

Katanya, ketika serbuan dilakukan di rumah berkenaan, premis itu didapati tiada pekerjadan KPDNKK sedang mengesan pemilik rumah berkenaan untuk membantu siasatan.

Kes itu akan disiasat menurut Akta Hak Cipta 1987 yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000 bagi setiap satu salinan dan minimum RM2,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

– Bernama